
Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata isu itu seharusnya melibatkan semua agensi kerajaan bagi mencari penyelesaian kerana semua pihak tahu bagaimana senjata api itu boleh masuk ke negara ini.
“Mungkin melalui sempadan di utara Malaysia dan Thailand. Atau melalui sempadan lain misalnya di Sabah timur dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebanyak 445 kes pembunuhan menggunakan senjata api berlaku sepanjang 8 tahun lalu.
Beliau dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam berkata, rekod tertinggi ialah 95 kes pembunuhan berkaitan senjata api yang dicatatkan pada 2013, manakala hanya 36 kes dicatatkan pada 2011.
Zahid berkata 38 kes pembunuhan menggunakan senjata api berlaku pada 2008, disusuli 45 kes pada 2009, 53 kes (2010), 68 kes (2012), 41 kes (2014), 45 kes (2015) dan 24 kes setakat September tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi di Universiti Help Datuk Akhbar Satar berkata kemasukan senjata api ke negara ini adalah disebabkan kelemahan kawalan sempadan negara ini.
Beliau yang juga penganalisis jenayah memberikan 3 sebab kelemahan kawalan sempadan negara ini dan antaranya sistem pemeriksaan tidak rapi melibatkan penguatkuasa di jalan yang sah, lorong tikus dan tidak mempunyai kelengkapan khas seperti alat pengimbas yang mencukupi untuk memeriksa sesuatu barang.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menambah alat pengimbas supaya pihak penguatkuasa boleh mengimbas barang.
“Pastikan kita jalankan tugas dan membuat rondaan di lorong tikus. Tahun lepas Cawangan Khas memaklumkan agensi penguat kuasa kita di sempadan Thailand, 80% terlibat rasuah.
“Kalau benda itu betul, kita berada dalam keadaan yang membimbangkan. Maknanya pegawai penguat kuasa di sana tidak boleh berkhidmat lebih 3 tahun kerana melepasi tempoh itu, selalunya mereka akan terpengaruh dengan rasuah,” katanya.
Akhbar turut mencadangkan Agensi Keselamatan Sempadan ditukar nama menjadi pasukan rondaan sempadan dan mempunyai identitinya sendiri serta bertugas untuk mengawal sempadan saja.