Putera Johor tegur PBT tawar RM55 tangkap anjing liar

Putera Johor tegur PBT tawar RM55 tangkap anjing liar

Badan kebajikan haiwan berkata tawaran wang seumpama itu akan menyebabkan ramai orang menangkap anjing liar, dan mungkin menzalimi haiwan itu.

tunku-idirs-1
PETALING JAYA:
Sekeping gambar risalah bertajuk ”Kempen Kawalan Anjing Liar” kini viral di media sosial sejak tengah hari tadi.

Risalah Majlis Perbandaran Pasir Gudang itu menawarkan kepada orang awam bayaran RM55 bagi setiap anjing yang ditangkap, dengan syarat ia masih hidup ketika dibawa kepada pihak berkuasa tempatan.

tunku-idirs-3

Menegur perkara itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim berkata tidak boleh sewenangnya membunuh anjing dan ada sebab kenapa SPCA (Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan) diwujudkan.

Tunku Idris berkata “ini apa yang berlaku bila anda jemput mereka ke acara SPCA dan mereka tidak faham ucapan Tunku Permaisuri yang disampaikan dalam bahasa Inggeris”.

“Sangat tak menghormati,” tulisnya di akaun Instagram miliknya.

Kakaknya, Tunku Aminah ialah penaung SPCA Johor.

Sementara itu, Syed Azmi Alhabshi yag sebelum ini menganjurkan acara “I Want To Touch A Dog” pada 2014 berkata jika pihak berkuasa tempatan ada banyak duit, ia sepatutnya mencari cara yang lebih baik dan berperikemanusiaan dalam mengendalikan anjing liar.

“Contohnya, anda boleh guna wang itu untuk mendidik orang awam pentingnya mengembiri anjing mereka supaya tidak ada banyak anjing luar di jalanan.

“Ada banyak cara lain yang lebih kemanusiaan untuk melupuskan anjing. Bila saya baca (risalah) saya rasa sangat sedih. Seperti mereka tidak ada otak.

“Saya faham jika mereka fikir jumlah anjing liar terlalu banyak, tetapi ada banyak cara lain lebih baik, lebih Islamik.

“Tidak perlu membunuh. Itu keputusan yang tidak difikirkan dengan baik,” katanya kepada FMT.

Pengasas kumpulan penyelamat anjing, Malaysian Dogs Deserve Better, Wani Mutthiah berkata menawarkan wang untuk anjing liar akan mencetuskan kekecohan di mana orang awam akan mengejar dan menangkap anjing.

“Anjing itu akan dizalimi kerana RM55 satu jumlah besar bagi kebanyakan orang. Ini akan jadi seperti acara sukan di mana mereka tidak peduli kebajikan anjing itu asalkan mereka hantar anjing itu dalam keadaan hidup,” katanya kepada FMT.

Wani berkata situasi itu timbul kerana anjing berada dalam tanggungjawab jabatan vektor pihak berkuasa tempatan, iaitu sama dengan pemantauan untuk tikus dan nyamuk.

Maka, katanya sama saja amalannya pihak berkuasa tempatan menawarkan duit kepada awam yang menangkap tikus.

Tetapi, katanya anjing berpotensi menjadi haiwan peliharaan dan tidak sepatutnya dilayan seperti haiwan pembawa penyakit lain.

“Anjing liar itu sepatutnya dikembiri dan dibebaskan. Lebih pun, kerajaan boleh kembiri anjing pada harga lebih rendah daripada RM55,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.