SPRM tahan bekas CEO GLC dipercayai salah guna kuasa, rasuah

SPRM tahan bekas CEO GLC dipercayai salah guna kuasa, rasuah

Suspek berusia 50 tahun itu dikatakan menganugerahkan projek bernilai hampir RM50 juta kepada syarikat-syarikat yang berkepentingan

macc-arrest
PETALING JAYA:
SPRM menahan seorang pengarah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang dipercayai menyalahgunakan kuasanya dan menerima sejumlah wang suapan.

Suspek berusia 50 tahun itu ditahan di rumahnya di Shah Alam kira-kira jam 12.30pm dan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan.

Sumber memberitahu SPRM juga menyita RM39.3 juta daripada beberapa akaun bank milik suspek dan beberapa ahli keluarganya.

“Wang tersebut dipercayai adalah hasil wang suapan yang diterima suspek selepas menganugerahkan projek-projek kepada syarikat-syarikat yang berkepentingan ketika memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat GLC sebelum meletakkan jawatan tersebut pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi

Dia dikatakan menganugerahkan projek-projek bernilai hampir RM50juta kepada syarikat-syarikat kepentingan dan mengambil wang suapan sebagai balasan ketika memegang jawatan tersebut selama lima tahun bermula tahun 2010.

Selepas meletakkan jawatan tersebut, suspek dilantik sebagai pengarah di sebuah syarikat GLC lain yang dipegangnya sehingga kini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Suspek dipercayai akan ditahan reman esok untuk membantu siasatan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.