
Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, perkara itu penting supaya dapat menghasilkan pemandu berhemah terutama pemandu motosikal yang dikatakan sering melakukan kesalahan undang-undang seperti melanggar lampu isyarat.
“Baru-baru ini dilaporkan lebih kurang 1.2 juta pemandu motosikal tidak mempunyai lesen terutama para pelajar. Ia sangat berisiko terutama apabila berlaku kemalangan kerana mereka tiada perlindungan insurans.
“Justeru, ini (pengurangan kos) akan memudahkan mereka mengambil lesen. Sebelum ini, lesen mahal kerana ada yang menggabungkan lesen motosikal dan kereta. Ia melibatkan kos yang tinggi,” katanya kepada FMT.
Semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyatakan akan mengkaji secara menyeluruh cadangan mengurangkan kos memiliki lesen motosikal termasuk jenis berkuasa tinggi.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata pengurangan itu mungkin boleh menggalakkan lebih ramai penunggang motosikal memiliki lesen, namun pihaknya perlu memperinci terlebih dahulu kesesuaian dan kos yang terlibat dalam usaha itu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi pada 9 November lalu menganggarkan sebanyak 1.2 juta penunggang motosikal di negara ini tidak mempunyai lesen.
Aziz berkata, anggaran itu berdasarkan andaian 8 hingga 10% daripada 15 juta rakyat yang layak mempunyai lesen.
Mengulas lanjut, Yusof menambah, sekiranya kos memiliki lesen motosikal itu dikurangkan, tiada alasan terutama golongan pelajar tidak mempunyai lesen.
PAUTAN :