Guru mengaji Al-Quran didenda RM1,000 cederakan murid

Guru mengaji Al-Quran didenda RM1,000 cederakan murid

Peguam tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman denda atas alasan dia sudah insaf dan tidak mempunyai pendapatan tetap dengan mengambil upah mengajar mengaji Al-Quran.

pukul
KUALA LUMPUR:
Seorang guru mengajar mengaji Al-Quran didenda RM1,000 atau 4 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap muridnya.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shajim Salim, 29, yang mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap murid lelaki berusia 10 tahun di Surau Nurul Hidayah, di perumahan awam (S) Kawasan Jinjang Utara, pada 8 malam, 8 November lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Sharen Rosli yang memohon mahkamah mengurangkan hukuman denda atas alasan sudah insaf dan tidak mempunyai pendapatan tetap dengan mengambil upah mengajar mengaji Al-Quran.

Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abdul Halim memohon hukuman setimpal atas faktor kepentingan dan keselamatan awam, memandangkan mangsa masih kecil dan tertuduh mempunyai cara lain untuk mendidik kanak-kanak dengan tidak beremosi.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.