
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, pengurangan itu mungkin boleh menggalakkan lebih ramai penunggang motosikal memiliki lesen, namun pihaknya perlu memperinci terlebih dahulu kesesuaiannya dan kos yang terlibat dalam usaha itu.
Beliau berkata, penunggang motosikal harus memahami kelebihan memiliki lesen kerana ia bakal memberi manfaat insurans kepada setiap individu, khususnya jika terlibat dalam kemalangan.
“Hampir 1.2 juta penunggang motosikal di negara ini tidak mempunyai lesen dan 6,000 kemalangan melibatkan golongan tersebut dengan 18 kematian direkodkan setiap hari.
“Disebabkan itu, pelbagai program kita anjurkan dengan kerjasama entiti sukarelawan sebagai satu pendekatan kepada rakyat untuk memberi kefahaman terhadap isu keselamatan jalan raya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Nadzri melancarkan Fiesta Bikers Selangor 2016 dan Karnival JOM JPJ Selangor bertempat di perkarangan Stadium Shah Alam yang dihadiri lebih 15,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi dan rendah.
Katanya, setakat ini, lebih 3 juta penunggang motosikal di negara ini memiliki lesen kelas B2 serta B dan ini menunjukkan tahap kesedaran rakyat terhadap kepentingan lesen semakin meningkat.
“Kerjasama sukarelawan dan program yang dianjurkan kelab motosikal dapat saling membantu menerapkan pengetahuan rakyat mengenai keperluan memiliki lesen dan pematuhan undang-undang jalan raya,” katanya.