Tak jadi sertai Pakatan bukan sebab takut, kata Muhyiddin

Tak jadi sertai Pakatan bukan sebab takut, kata Muhyiddin

Beliau memohon maaf kerana menyebabkan salah faham dan menjelaskan PPBM perlu bincang dasar bersama dengan PH secara lebih mendalam

Free Malaysia Today
SHAH ALAM: Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan partinya tidak jadi menyertai Pakatan Harapan bukanlah kerana tidak yakin atau ingin menarik diri.

Beliau berkata penangguhan langkah itu agar kedua-dua pihak diberi masa untuk berbincang dan merangka dasar bersama secara lebih mendalam.

“Saya minta maaf. Ada orang kata saya ‘cold feet’ (gemuruh), tapi kaki saya masih panas. Ada yang kata saya tarik diri. Ini tidak benar sama sekali.

“Saya meminta lebih masa agar kepimpinan kanan kedua-dua pihak dapat berbincang secara lebih lanjut, bukan hanya antara presiden seperti sebelum ini.

“Secara asasnya saya setuju dengan sebahagian besar apa yang dirangka,” katanya ketika berucap di Konvensyen Pakatan Harapan hari ini.

Muhyiddin berkata antara perkara yang dipersetujui ialah hal berkaitan kedudukan Islam dan hak mengamalkan agama lain, kedudukan kaum Bumiputera dan hak kaum lain, serta komitmen untuk reformasi institusi dan memerangi rasuah.

Semalam, beliau dilaporkan membatalkan majlis menandatangani perjanjian menyertai Pakatan Harapan, yang dijadualkan dibuat ketika konvensyen hari ini.

Bekas ahli PPBM Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa penangguhan itu mungkin kerana bekas timbalan perdana menteri itu ingin menjalinkan kerjasama dengan PAS terlebih dulu.

Muhyiddin kemudian mencadangkan penubuhan kumpulan pakar yang melibatkan semua parti untuk membincangkan dasar bersama.

“Saya minta sekretariat Pakatan Harapan untuk tetapkan tarikh yang sesuai untuk PPBM dan Pakatan berbincang. Selepas itu saya akan mewakili PPBM untuk tandatangani perjanjian,” katanya.

“Saya mahu keputusan mengadakan kerjasama dibuat secara komprehensif, ini memerlukan proses keterlibatan yang luas .

“Dalam pertemuan dengan pimpinan kanan Pakatan, saya mahu semua pihak terlibat supaya semua terma mendapat persetujuan semua,” katanya.

Beliau berkata PPBM juga akan berusaha menjalin kerjasama dengan parti pembangkang yang tidak menyertai Pakatan Harapan, seperti di Sabah dan Sarawak.

Namun, beliau tidak menyebut PAS sebagai antara parti tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.