
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, kerjasama memang diperlukan untuk membolehkan pertembungan 1 lawan 1 dengan BN pada pilihan raya akan datang.
“Kita alu-alukan siapa yang ingin bersama kita tapi ada syaratnya. Jika anda melanggar komitmen terhadap reformasi, anda keluar (dari kerjasama),” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Harapan yang julung kali diadakan, hari ini.
Memetik cendekiawan Zainal Abidin Ahmad atau dikenali dengan nama pendeta Za’aba, beliau berkata apa yang diperlukan negara adalah pemimpin yang melawan rasuah dan bukannya berpengetahuan agama semata-mata.
“Pemimpin perlu berfikiran kritis, bukan pemimpin yang nama sahaja pak haji tetapi (mengamalkan) korupsi. Pak haji yang korupsi bukan pemimpin kita.
“Ini nasihat pendeta Za’aba, bukan kata-kata DAP, PKR dan Amanah,” katanya lagi.
Menurut laporan The Star semalam, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dijangka menandatangani perjanjian menyertai Pakatan, tetapi rancangan itu dibatalkan selepas presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa berkata perlu menimbangkan perkara itu dahulu.
Bekas ahli PPBM Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa penangguhan itu mungkin kerana bekas timbalan perdana menteri itu ingin menjalinkan kerjasama dengan PAS terlebih dahulu.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata Pakatan Harapan perlu melantik seorang pemimpin sebagai calon perdana menteri, sementara menunggu “pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim”.
“Kita nak bebaskan Anwar, tetapi untuk itu kita perlu ke Putrajaya. Sebelum itu, siapa calon (perdana menteri) kita?
“Konvensyen ini boleh putuskan, dengan apa cara sekalipun, calon itu. Kita jangan ulang kesilapan lalu (ketika kewujudan Pakatan Rakyat) yang tidak bersedia untuk namakan Anwar,” katanya lagi.