Empayar perniagaan Trump potensi percanggahan kepentingan

Empayar perniagaan Trump potensi percanggahan kepentingan

Bakal Presiden Donald Trump mempunyai kepentingan di lebih 500 syarikat serata dunia.

trump--2

NEW York: Donald Trump berkempen untuk jawatan presiden sebagai seorang hartawan yang akan menggunakan kepintarannya untuk memperbaiki ekonomi Amerika Syarikat, memotong cukai rakyatnya, dan merunding semula perjanjian perdagangan.

Namun rangkaian perniagaannya yang luas dan rumit yang bernaung di bawah Trump Organisation, termasuk pelbagai pelaburan asing dan hutang, boleh mencetuskan percanggahan kepentingan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pakar-pakar tatasusila tadbir urus kerajaan berkata undang-undang persekutuan AS tidak melarang presiden daripada terbabit dalam perniagaan peribadi semasa memegang jawatan itu, walaupun ahli kongres dan para pegawai eksekutif dikenakan peraturan percanggahan kepentingan yang ketat.

Tetapi, menurut pakar, kebanyakan presiden zaman ini secara sukarela mengamanahkan aset peribadi mereka, termasuk hartanah dan milikan kewangan di bawah pantauan penasihat bebas. Mereka, selaku pemilik, tidak boleh membuat keputusan atau diberitahu bagaimana aset berkenaan diuruskan.

Presiden Barack Obama merupakan suatu pengecualian, tetapi sebahagian besar pelaburannya adalah di dana amanah dan matawang AS yang tidak mendedahkan beliau kepada percanggahan kepentingan.

Perniagaan Trump pula termasuk perjanjian pelesenan, perhotelan dan lapangan golf di serata dunia. Semasa berkempen, beliau memfailkan pengisytiharaan harta setebal 104 halaman, kerana diwajibkan berbuat demikian oleh undang-undang, yang menunjukkan beliau mempunyai kepentingan di lebih 500 syarikat dengan nama seperti China Trademark LLC dan DT Marks Qatar LLC tanpa sebarang butiran lanjut.

Semasa berkempen, Trump berkata beliau akan memindahkan operasi harian kepada anak-anaknya, tetapi pakar berpendapat langkah itu tidak melindungi Trump daripada percanggahan kepentingan.

Hotel mewah miliknya, yang terletak tidak jauh daripada Rumah Putih memajakkan hartanah daripada kerajaan AS, seraya meletakkan Trump di pihak tuan tanah dan penyewa dalam pertikaian yang berbangkit.

Trump turut mempunyai perjanjian pelesenan dan pegangan hartanah di banyak negara yang akan menerima manfaat daripada subsidi atau pengurangan cukai daripada kerajaan negara asing.

Syarikat yang beliau mempunyai kepentingan di dalamnya berhutang ratusan juta dolar dengan bank-bank asing yang dikenakan kawalan oleh AS, seperti Deutsche Bank dan Bank of China, menurut laporan New York Times dan Wall Street Journal.

Beliau memiliki hartanah termasuk hotel di negara seperti Turki, Uruguay, Filipina dan Korea Selatan, serta lapangan golf di Emiriah Arab Bersatu, Ireland dan Britain.

Percanggahan kepentingan boleh berlaku sekiranya negara cuba mempengaruhi polisi beliau dengan menjalin hubungan perniagaan dengan salah satu daripada syarikat miliknya atau anak-anaknya.

Ivanka Trump mempunyai jenama fesyen tersendiri yang dihasilkan di China, bersama barangan berjenama Trump yang lain.

Trump menuduh China menjalankan manipulasi matawang dan mengancam untuk mengenakan tarif keatas import negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.