
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata TPPA berkemungkinan dipinda bagi membolehkan AS mendapat sepenuhnya kelebihan daripada perjanjian itu.
“Beliau (Donald) sudah nyatakan beliau tidak bersetuju (TPPA) dan mungkin akan dimansuhkan atau satu pindaan dilakukan. TPPA baginya tidak cukup kuat dan tidak memihak kepada AS secara jelas,” katanya kepada FMT.
TPPA bertujuan menghubungkan negara-negara Pasifik dalam bidang ekonomi yang lebih besar, malah ia dikatakan akan lebih menggalakkan perdagangan secara terbuka.
Bagaimanapun, ada sesetengah pihak bimbang ia membolehkan akses lebih luas ekonomi AS ke pasaran Asia, sehingga menjejaskan ekonomi lebih kecil.
Kata Azmi, berdasarkan penelitiannya terhadap kempen-kempen Trump, beliau percaya pasti hartawan terkemuka itu akan mengatur skema perjanjian lain demi kepentingan AS dan bukannya negara lain.
“Ia membayangkan akan ada penyusunan lain yang diingini agar benar-benar memberi kepentingan kepada AS dengan secara jelas dan tiada kompromi.
“Saya fikir beliau akan mengadakan pertemuan dengan konglomerat besar AS untuk mewujudkan satu penyusunan perdagangan baru, yang dirasakan segala-galanya diputuskan secara unilateral,” katanya.
Jelasnya, bagi mengembalikan kegemilangan AS, selaras dengan kempennya iaitu Make America Great Again (Jadikan Amerika Hebat Semula), beliau percaya Trump akan menyemak semula kerjasama dengan Iran dan China.
“Beliau akan pastikan kekuatan AS tidak boleh sama sekali dicabar mana-mana negara yang selama ini dilihat sebagai pesaing atau musuh,” katanya.
Trump memenangi pilihan raya presiden AS pada Rabu dengan memperolehi 276 undi menewaskan pencabarnya, Hilary Clinton daripada parti Demokrat yang meraih 218 undi.
Semalam, penganalisis ekonomi dan politik Prof Hoo Ke Ping menyatakan Trump tidak mungkin mengugurkan perjanjian itu kerana ia akan mengukuhkan pengaruh China di Asia Tenggara, walaupun bakal presiden itu membantah TPPA dalam kempennya.
Ke Ping menjelaskan negara-negara Asia Tenggara secara keseluruhannya mempunyai 600 juta orang, bersamaan separuh daripada penduduk China dan 30% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu.