Speaker DUN Selangor tolak 2 usul BN atas alasan teknikal

Speaker DUN Selangor tolak 2 usul BN atas alasan teknikal

Dua usul BN yang ditolak itu mengenai cadangan memperkasakan Mahkamah Syariah di Selangor dan pengambilalihan SPLASH.

Hannah-Yeoh
SHAH ALAM: Dua usul adun Barisan Nasional (BN) ditolak speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini atas alasan teknikal dan tidak tertakluk kepada bidang kuasa legislatif.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berkata, 2 usul BN yang ditolak itu berkaitan cadangan memperkasakan Mahkamah Syariah dan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

Katanya, usul pertama ditolak kerana Mahkamah Syariah di Selangor sudah diperkasakan, malah usaha itu sentiasa berterusan melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelantikan hakim wanita Mahkamah Tinggi Syariah yang pertama di Malaysia.

“Selain itu, Mahkamah Syariah adalah di bawah sayap kehakiman dan tidak tertakluk di bawah bidang kuasa legislatif dan ini selaras konsep pengasingan kuasa diamalkan di Selangor.

“Manakala usul pengambilalihan SPLASH ditolak berikutan usul itu dihantar kepada setiausaha dewan. Sepatutnya dihantar kepada speaker.

“Ini masalah teknikal, selain usul ini tidak perlu disegerakan kerana masih dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan persekutuan.

“Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga sudah memberi penerangan panjang semasa penggulungan kerajaan,” katanya pada sidang media di Dewan Annex DUN Selangor.

Terdahulu, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) ketika membawa usul khas meminta isu percanggahan maklumat mengenai pengambilalihan SPLASH dibahaskan berkata, isu itu perlu diselesaikan segera dan tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh mengelirukan rakyat Selangor.

Sementara itu, Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) kesal dan tidak dapat menerima alasan speaker menolak usul memperkasakan Mahkamah Syariah di Selangor kerana ia tidak tertakluk di bawah bidang kuasa legislatif.

“Saya melahirkan rasa terkejut dan dukacita dengan penolakan usul tersebut serta alasan-alasan yang dikemukakan.

“Padahal dengan hati dan niat yang suci, saya merasakan amat wajar usul ini diterima dan dibahaskan ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Selangor sebagai langkah berterusan yang proaktif demi memperkasa dan memartabatkan institusi Mahkamah Syariah Negeri Selangor,” katanya.

Adun BN bawa usul khas bincang isu SPLASH

Umno persoal kelebihan SPLASH hingga Azmin sanggup bayar RM2.9 bilion

Tak pernah tawar RM2.975 bilion ambil alih SPLASH, kata Khalid

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.