
Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) berkata, isu pengambilalihan SPLASH ini perlu diselesaikan segera dan tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengelirukan rakyat Selangor.
“Saya bawa satu usul yang penting itu di bawah Perkara 17, mengenai perkara tertentu yang melibatkan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan.
“Isu pertikaian pengambilalihan SPLASH antara Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan mantannya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih belum selesai. Dan kalau boleh, pertikaian ini perlu dijelaskan,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Annex DUN Selangor.
Azmin sebelum ini mendakwa Khalid berselindung di sebalik nilai sebenar pengambilalihan SPLASH.
Katanya, Khalid juga tidak pernah memaklumkan kepada DUN berkenaan tawaran RM2.975 bilion dibuat kepada SPLASH melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya 19 Julai 2009.
Bagaimanapun, Khalid menafikannya dan berkata kerajaan Selangor tidak pernah menawarkan bayaran sebanyak RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014.
Khalid berkata, dakwaan itu dibuat bagi mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran Azmin untuk membayar sebanyak RM2.7 bilion ke atas ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.
Pada masa sama, Shamsuddin meminta percanggahan maklumat itu dibawa ke siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) bagi menyelesaikan pengambilalihan ekuiti SPLASH.
“Kita nak tahu maklumat sebenar, dan bukannya tuduh menuduh. Ini mengelirukan rakyat khususnya rakyat di Selangor. Kita bawa usul hari ini di DUN. Esok kita akan tahu sama ada usul membincangkan isu ini diterima atau tidak,” katanya.
Azmin sebelum ini memberitahu rundingan kerajaan negeri dengan SPLASH akan dimuktamadkan pada Oktober 2016.
Namun sehingga berakhirnya Oktober, rundingan itu masih belum mencapai kata putus.
Tak pernah tawar RM2.975 bilion ambil alih SPLASH, kata Khalid