
Bekas menteri itu berkata beliau tidak bersetuju dengan pendapat beberapa penganalisis yang merumuskan demonstrasi itu sebagai bukti umat Islam Indonesia semakin konservatif.
Menurutnya, pesantren atau sekolah agama yang menjadi asas kepada pengajaran ilmu agama di negara itu sudah wujud selama lebih 300 tahun.
“Di sinilah rakyat Indonesia diajar mengenai ilmu dan semangat sebenar Islam,” kata Zaid dalam artikel terbaru dalam blognya.
“Mereka tidak belajar Islam daripada Arab Saudi atau graduan pengajian Islam yang menganggur. Mereka belajar agama daripada orang tua dan imam yang dihormati di kampung mereka. Golongan pengajar ini tidak bekerja untuk parti kerajaan atau dibayar menjadi alat parti memerintah, sepertimana kita di Malaysia.”
Sebaliknya, Zaid menyifatkan pendakwah Islam di Indonesia konsisten menolak keganasan dan ektremisme selama lebih 3 kurun.
Beliau turut memuji cara pihak berkuasa Indonesia menangani tunjuk perasaan di Jakarta itu, yang didalangi beberapa pertubuhan Islam termasuk kumpulan radikal Front Pembela Islam (FPI) bagi membantah gabenornya.
Basuki atau lebih dikenali sebagai “Ahok” mencetuskan kemarahan beberapa pihak selepas beliau mengkritik golongan yang memetik ayat Al-Quran melarang umat Islam berpakat dengan kuasa Kristian dan Yahudi.
Zaid berkata tunjuk perasaan seumpama itu sesuatu yang biasa untuk negara dengan penduduk 250 juta orang, dan pasukan keselamatan bertindak adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada Malaysia boleh mendapat jaminan layanan adil yang sama daripada pihak polis, khususnya di sebalik tindak-tanduk kumpulan Baju Merah yang dipimpin Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos untuk menghalang perhimpunan Bersih 5 bulan ini.
“Apakah kita mendapat jaminan seumpama itu di Malaysia? Sekiranya Jamal dan rakan-rakan mula membuat kacau di jalan raya seperti mana yang mereka ugut, apakah mereka diberi layanan seperti mana-mana pesalah yang menganggu ketenteraman awam?” soal Zaid.
Zaid turut menyelar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kerana tidak menjalankan tugas seorang penguatkuasa undang-undang dengan baik.
Khalid sebelum ini mengkritik Bersih 2.0 kerana tidak memohon kebenaran mengadakan perhimpunan Bersih 5 bagi memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak berundur.
Minggu lalu, Khalid turut menasihati pihak media supaya tidak hanya menggambarkan kumpulan Jamal dengan negatif.