
Peguam itu selama ini memperjuangkan hak Orang Asli selain membantah pindaan kepada Akta 355 Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah).
Menambah lagi kontroversi, kini beliau mencadangkan supaya ahli Parlimen dan Adun dilarang daripada meneruskan kerjaya peguam – sebagai salah satu cadangan dalam kempennya.
Siti, yang nama penuhnya Siti Zabedah Kasim dalam senarai calon berkata, beliau mencadangkan supaya mengehadkan jumlah terma bagi beberapa jawatan dalam Majlis Peguam Malaysia dan jawatankuasanya.
Beliau pada mulanya keberatan untuk menerima pencalonan yang dibuat rakan seperjuangannya, tetapi kemudian akur untuk bertanding.
“Saya tanya rakan rapat saya, mereka kata mengapa tidak? Paling teruk pun yang boleh berlaku ialah saya tak diundi.
“Mereka (peguam lain) percaya pada saya. Sebab itu mereka mencalonkan saya tanpa terlebih dulu bertanya saya,” katanya kepada akhbar itu.
Beliau juga menafikan pernah mengintai peluang menduduki jawatan dalam Majlis Peguam, dan katanya tidak ada motif terselindung dalam kerja aktivis yang dilakukannya.
“Saya tidak mahu orang fikir saya buat semua ini hanya kerana mahu kerusi (dalam Majlis Peguam). Tidak pernah ada rancangan sebegitu,” katanya.
Beliau akan bertanding dengan 21 calon lain untuk mengisi 12 kerusi kosong dalam Majlis Peguam, termasuk penyandang Hendon Mohamed, Brendan Navin Siva dan Andrew Khoo.