
Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, jika keputusan itu muktamad, presiden PAS tidak akan membuka sebarang pintu perbincangan dengan parti lain.
“Semuanya belum muktamad. Pokoknya, kalau ada kesediaan dia (Hadi) untuk berjumpa dan berbincang itu menandakan semuanya boleh dibawa berunding.
“Kalau tiada kesediaan, itu ertinya sudah tidak boleh dirunding lagi. Kita pastikan kita duduk bincang dan tengok apa hasilnya,” katanya kepada FMT hari ini.
Semalam, Hadi berkata, PAS hanya akan bekerjasama dengan parti yang sealiran dengan matlamat perjuangannya untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia dan ia tidak mempunyai masalah bergerak sendiri tanpa sokongan parti pembangkang lain.
Kamarudin berkata, PPBM turut mengambil sikap dan pendekatan sama dengan PAS, iaitu terbuka kepada rundingan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Kita mempunyai sikap terbuka untuk berunding, berbincang dan berjumpa. Apa yang kita perlukan sekarang ini adalah persepakatan,” katanya.
PAS kini bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan dalam suatu bentuk kerjasama dengan PKR.
Parti Islam itu sebelum ini mendakwa DAP memungkiri perjanjian kerjasama antara kedua-dua parti ketika berada dalam Pakatan Rakyat.
DAP kini menyertai PKR dan Amanah yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS dalam Pakatan Harapan.
PAUTAN:
PAS jadi pengemudi utama sekiranya hendak kerjasama, kata Hadi