PAC pandang serius pegawai kementerian pelancongan gagal patuhi tatacara kewangan

PAC pandang serius pegawai kementerian pelancongan gagal patuhi tatacara kewangan

Perkara dibangkit antaranya 'improper payment' disebabkan pengurusan pembayaran yang lemah dengan pembayaran dibuat tanpa dokumen sokongan yang lengkap.

hassan
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memandang serius kegagalan pegawai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mematuhi tatacara kewangan yang ditetapkan dalam pengurusan pengendalian acara kementerian itu.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata kementerian itu perlu mengambil tindakan yang lebih tegas bagi memastikan prosedur berhubung perkara itu dipatuhi.

“PAC berpandangan penyediaan laporan oleh Jabatan Audit Negara perlu lebih memfokuskan kepada bajet dan dibuat secara objektif,” katanya dalam kenyataan mengenai Laporan PAC Pengurusan Pengendalian Acara di bawah kementerian itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Isu tersebut sebelum ini disentuh dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3 dan dibentangkan di Parlimen pada 10 Nov 2014 dan prosiding mengenainya dibincangkan pada 7 April tahun lepas dengan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Ong Hong Peng dipanggil bagi memberikan penjelasan.

Hasan berkata dalam prosiding tersebut beberapa perkara dibangkit antaranya ‘improper payment’ disebabkan pengurusan pembayaran yang lemah dengan pembayaran dibuat tanpa dokumen sokongan yang lengkap, spesifikasi bekalan dan perkhidmatan yang tidak mematuhi peraturan dan berkaitan pemilihan lokasi acara.

Beliau berkata isu lain yang turut disentuh adalah berhubung pelantikan kontraktor khusus untuk menjalankan kerja perkhidmatan perhubungan awam yang tidak sesuai dengan fungsi kementerian.

“Secara mandatnya, aktiviti promosi dan perhubungan awam sepatutnya dilaksanakan oleh Tourism Malaysia,” katanya.

Selain itu, Hasan berkata terdapat ketidakselarasan dalam aspek perancangan di mana untuk sampel yang disemak didapati sewaan kerusi banquet melebihi jumlah makanan yang ditempah antara 53.9% hingga 300%.

Beliau berkata isu lain yang dibangkitkan adalah pengurusan keselamatan bagi acara di mana bagi Program Pesta Air Labuan, lokasi pemasangan bunga api didapati tidak selamat.

Dalam hal ini, Hasan berkata PAC mengesyorkan agar kementerian berkenaan supaya tidak lagi melaksanakan ‘time-based’ kontrak kerana ia memudahkan kontraktor untuk memanipulasi pembayaran.

Katanya pelaksanaan kontrak perlu dilakukan berdasarkan tatacara pengurusan kontrak dan pengurusan kewangan yang telah ditetapkan.

“Kementerian perlu memastikan satu sistem yang lebih teratur dan lebih baik berdasarkan Tatacara Kewangan dipatuhi bagi mengurangkan risiko pembaziran dan penyelewengan bagi acara-acara kementerian kerana acara-acara ini dilaksanakan setiap tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.