Noh Omar kesal pembangkang politikkan isu pelaburan China

Noh Omar kesal pembangkang politikkan isu pelaburan China

Beliau berkata, sebab utama China melabur di Malaysia kerana yakin dengan politik, ekonomi dan status keamanan negara.

Noh Omar
DENGKIL: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menyelar sikap pembangkang yang hanya pandai memperlekeh usaha kerajaan, dan ini jelas membuktikan mereka hanya pandai bermain politik kotor.

Beliau berkata dakwaan mereka yang lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke China adalah untuk menjual negara adalah keterlaluan.

“Saya rasa cukuplah pembangkang tidak habis-habis serang kerajaan. Tolong pentingkan negara daripada kepentingan politik atau peribadi. Ini adalah kerana sesiapa pun yang memerintah Malaysia, negara perlu stabil dari segi ekonomi, politik dan keamanan.

“Kalau nak berpolitik pun, biarlah ada sempadan ini. Jangan sampai mencari salah dan menghasut rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) 4U Semarak Desa, di sini hari ini.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang kononnya Malaysia sudah berjaya “dilelong” atau “dijual” kepada pihak China berikutan lawatan Najib ke negara itu baru-baru ini.

Ini ekoran pelbagai perjanjian dimeterai dan memorandum persefahamam ditandatangani antara Malaysia dan China dalam lawatan penuh bersejarah itu bernilai RM144 bilion sekali gus mencipta rekod terbesar dalam sejarah.

“Kalau dahulu, pembangkang mendakwa Malaysia akan jadi bankrap dan pelabur asing tidak akan datang kerana keadaan ekonomi tidak menentu dan politik tidak aman. Kononnya, pelabur asing tidak ada keyakinan terhadap negara kita.

“Hari ini, apabila perdana menteri berusaha menarik pelabur asing ke negara ini, pembangkang menghasut yang beliau (Najib) menjual negara. Ini memang menghairankan dan tidak masuk akal langsung,” katanya.

Noh juga berpendapat pihak pembangkang sebenarnya sudah takut dan mula goyah kerana segala tuduhan dan hasutan yang dilemparkan kepada kerajaan Barisan Nasional tidak menjadi kenyataan.

“China merupakan antara negara kuasa besar di dunia. Kalau mereka tidak yakin dengan politik, ekonomi dan status keamanan negara kita, masakan mereka berani melabur berbilion-bilion dalam negara kita,” tegas beliau.

Mengenai karnival itu, Noh berkata program turun padang itu dapat mendedahkan Kemas mempunyai kompetensi membangunkan taraf hidup masyarakat luar bandar dalam bidang pendidikan, sosial dan ekonomi.

Ahli Parlimen pembangkang lahir kebimbangan projek kereta api dibiayai China

 

Tak masuk akal tuduh saya jual negara kepada China, kata Najib

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.