
Pengarah Eksekutifnya, Zairil Khir Johari berkata, beliau terkejut apabila membaca laporan mengaitkan organisasi itu dengan OSF dan mempersoalkan motif di sebalik dakwaan itu.
“Kami ingin menyatakan Penang Institute tidak menerima atau memohon apa-apa dana daripada OSF dan tiada seorang pun daripada kakitangan kami menerima biasiswa Centrel European University seperti yang didakwa,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, Penang Institute adalah badan pemikir dasar awam yang dibiayai kerajaan Pulau Pinang, justeru ia tidak menerima sebarang dana daripada sumber asing tanpa kelulusan kerajaan negeri.
Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta siasatan dijalankan berhubung dakwaan Soros membiayai beberapa organisasi awam Malaysia.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyiasat aduan mengenai penyaluran dana asing kepada portal berita tertentu.
Menurut laporan media, antara penerima dana OSF di Malaysia termasuk Bersih, Malaysiakini, C4 Malaysia, Empowerment Pusat Kesedaran Komuniti, Islamic Renaissance Front, Merdeka Centre for Opinion Research, Penang Institute, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Citizen Journalists Malaysia (Sabah) dan Committee For Free Election (Comfrel) bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.