Musa cabar Misuari namakan individu terbabit penculikan Sipadan

Musa cabar Misuari namakan individu terbabit penculikan Sipadan

Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) itu tidak sepatutnya melempar tuduhan tanpa bukti, kata Ketua Menteri Sabah

Musa Aman
PETALING JAYA: Namakan individu warga Malaysia yang didakwa terbabit dalam penculikan Sipadan, kata Ketua Menteri Sabah mencabar pengerusi Berisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari.

Datuk Seri Musa Aman berkata Misuari tidak sepatutnya melempar tuduhan tanpa bukti.

“Ini tuduhan yang serius. Nur Misuari perlu namakan individu yang beliau dakwa terbabit dalam penculikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa, yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Sabah berkata dakwaan itu bukan sahaja mencalar imej negara tetapi juga menjejaskan hubungan antara Malaysia dan Filipina.

“Nur Misuari sepatutnya mengambil cara diplomasi bukannya berlawan, serta mencari kestabilan untuk kawasannya dan menjalin hubungan yang aman dengan jirannya.”

Kenyataan Musa itu meyusuli laporan media yang memetik Nur Misuari sebagai berkata pemimpin Malaysia terbabit dalam penculikan untuk tebusan di Sipadan, Sabah pada 2000.

Nur Misuari mendakwa beliau mempunyai bukti dan akan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan, termasuk ke mahkamah antarabangsa.

Kejadian yang beliau maksudkan itu berlaku pada April 2000, apabila 10 rakyat Malaysia dan 11 warga asing diculik kumpulan bersenjata di Sipadan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.