
Abdul Khalid adalah penulis laporan Institut Kajian Khazanah yang mendapati kurang daripada 10% kanak-kanak kaum India lahir daripada ibu bapa yang tidak pernah bersekolah atau berhenti sekolah rendah berusaha melanjutkan pelajaran ke pengajian tertiari.
Kajian itu, bertajuk “Climbing the Ladder: Socio-Economic Mobility in Malaysia” mendapati angka itu terendah antara 3 kaum utama – Bumiputera, Cina dan India.
Bercakap kepada FMT, Abdul Khalid menjelaskan masyarakat India mempunyai kemahuan untuk mendapatkan pendidikan bermutu yang akan dapat menamatkan kitaran kemiskinan, tetapi tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melakukannya.
“Perkara seperti tuisyen dan buku memerlukan duit. Mereka mahu belajar tapi tak cukup duit.”
Kualiti sekolah yang tidak baik di estet berbanding sekolah di bandar turut menjadi faktor.
Mengikut kajiannya, Abdul Khalid menjangkakan mereka yang ketinggalan kebanyakannya daripada masyarakat Tamil.
Bagi menangani permasalahan itu, beliau menyarankan suatu program khusus untuk mengangkat mobiliti pendidikan kaum India dan program itu perlu dimulakan di peringkat pra-sekolah.
“Ini bagi memastikan prospek yang lebih baik untuk anak-anak berbanding ibu-bapa mereka. Program ini bukan sahaja penting untuk masyarakat India tetapi juga semua rakyat Malaysia.
“Perpaduan di negara ini akan mengukuh apabila semua diberi peluang sama rata untuk berjaya.
“Oleh itu semua rakyat perlu menyokong pendidikan untuk golongan yang memerlukan.”
Semalam, pemimpin DAP P Ramasamy menyeru Institut Kajian Khazanah supaya menjelaskan mengapa status sosio-ekonomi kaum India menurun, bukan sekadar menerbitkan statistik.