PAC persoal RM43.70 juta untuk RTM

PAC persoal RM43.70 juta untuk RTM

Program saluran TVi berjumlah RM111.83 juta juga melebihi peruntukan RM21.79 juta bagi tempoh 2011 hingga Jun 2013.

hassan
PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini menyenaraikan beberapa kelemahan pengurusan projek Pembangunan Kandungan Penyiaran Digital (PKPD) yang dikelola Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Arifin berkata, pihaknya mendapati perbelanjaan perolehan program saluran TV1 dan TV2 berjumlah RM43.70 juta merupakan projek PKPD di luar skop yang tidak mendapat kelulusan Unit Perancangan Ekonomi dan Perbendaharaan.

Katanya, perolehan program saluran TVi berjumlah RM111.83 juta juga melebihi peruntukan RM21.79 juta (24.20%) bagi tempoh 2011 hingga Jun 2013.

Beliau berkata, KKMM juga tidak memohon peruntukan pembangunan tambahan bagi membiayai tanggungan berjumlah RM61.78 juta.

“Sebanyak 71 program (16.67%) siap tetapi lewat jadual, manakala 78 program (18.31%) masih dalam pelaksanaan tetapi melebihi tempoh kontrak awal. Kelewatan pelaksanaan antara 15 hari hingga 14 bulan.

“Sebanyak 15 program diberi kelulusan lanjutan tempoh kontrak melebihi sekali manakala 8 program diberi lanjutan masa selepas tarikh tamat tempoh kontrak.

“Liquidated Ascertained Damages (LAD) berjumlah RM182,142 tidak dikenakan terhadap 42 program siap yang melebih tempoh sah laku kontrak dan keseluruhan 413 program yang bernilai melebih RM50,000 setiap satu tidak mempunyai kontrak formal,” katanya.

Hasan berkata, 2 kelemahan dalam projek itu yang lain ialah terdapat 75 program tidak dikemukan bon pelaksanaan berjumlah RM0.86 juta manakala 53 program bon pelaksanaan tidak meliputi 12 bulan selepas tarikh tamat kontrak.

“Perolehan 366 program berjumlah RM88.04 juta tidak didaftarkan sebagai harta modal kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Hasan menyatakan KKMM dan RTM perlu memantapkan lagi kawalan terhadap urusan pembayaran dan perolehan yang membabitkan kandungan penyiaran bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada wang dibelanjakan.

“(PAC) mahu KKMM dan RTM memastikan setiap prosedur dan pekeliling berhubung tatacara kewangan yang disediakan kerajaan dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan berlaku ketirisan dan penyelewangan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.