Hillary, Trump tak digemari di dunia Arab

Hillary, Trump tak digemari di dunia Arab

Dalam satu kajian tinjauan pendapat membabitkan 18 negara, 47% berkata jika diberi pilihan mengundi, mereka tidak akan memilih kedua-duanya, Hillary atau Trump.

Free Malaysia Today
JEDDAH: Hampir separuh populasi Timur Tengah dan Afrika Utara memilih untuk berkecuali jika diberi hak mengundi dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat (AS) minggu depan, dedah satu tinjauan pendapat semalam.

Tetapi calon Democrat Hillary Clinton lebih digemari berbanding pesaingnya daripada Republican, Donald Trump, untuk menerajui AS, yang memainkan peranan penting dalam dunia Arab.

Sebanyak 47% daripada 3,017 individu dalam tinjauan itu di 18 negara, berpendapat “akan menolak kedua-duanya jika mereka diberi peluang mengundi”, menurut kaji selidik yang dijalankan akhbar Arab News dan British pollster YouGov.

Antara mereka yang akan mengundi, 44% berkata mereka akan memilih Hillary sementara hanya 9% mahu memilih Trump, menurut keputusan dalam kajian atas talian yang dijalankan pada 14-21 Oktober lalu.

“Kedua-dua calon tidak begitu digemari tetapi 78% percaya Hillary lebih baik untuk dunia Arab jika dipilih sebagai presiden berbandng 22% untuk Trump,” kata Ketua YouGov, Stephan Shakespeare.

Mengenai konflik di Syria, 46% responden mahu Washington menyatakan pendirian untuk memerangi kumpulan militan IS sementara majoriti 54% membantah langkah itu.

Sementara itu, 44% responden berkata bakal presiden AS baharu patut membatalkan rundingan nuklear dengan Iran.

Tetapi ketika ditanya mengenai keselamatan sempadan di negara sendiri dan pengguguran, kebanyakan peserta berkongsi pendapat keras Trump.

Sebanyak 90% responden berkata mereka tidak kisah lebih sekatan di sempadan kerana merasakan keselamatan negara terancam, sementara 89% berkata pengguguran kandungan tidak boleh diterima, kecuali dalam kes ekstrem seperti rogol atau situasi mengancam nyawa.

Pemilihan presiden AS akan diadakan Selasa depan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.