

Sitaan tersebut dibuat 2 pegawai polis dan 10 anggota daripada Skuad Taktikal Khas 3 yang menyiasatnya di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Seksyen 45.
“Di bawah AMLA, Seksyen 45, kita akan sita semua harta yang disyaki meragukan. Kita boleh sita selama 9 bulan tetapi kalau didapati tiada kaitan, kita akan lepaskan.
“Kita sudah sita akaun bank dia. Jadi apa-apa harta yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram, kita akan ambil untuk siasatan selanjutnya,” kata ASP Faizal Maamor kepada FMT.
Dalam sitaan itu, sebuah kereta model BMW EX6 berwarna merah dan 3 motosikal Demak EX90 berwarna biru serta motosikal Yamaha Ego dibawa ke tempat simpanan barang kes polis di Cheras.
Operasi pada 3.10 petang itu berakhir pada sekitar jam 4.30 petang dalam suasana aman dan tiada pergelutan berlaku di antara Sanjeevan dan anggota polis.
Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) sewaktu ditemui selepas operasi itu berakhir, melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan polis itu.
“Bila mereka (polis) sampai sahaja, polis melanggar dan memecahkan awning tempat letak kereta saya, dan ia akan memakan ribuan ringgit.
“Mereka langgar dan tidak ada kata maaf pun, terus pergi begitu sahaja,” katanya kecewa.
Sanjeevan turut tidak teragak-agak membawa perkara ini ke mahkamah sekiranya pihak polis tidak memohon maaf.
Tambahnya, akibat sitaan itu, beliau tidak lagi mempunyai sebarang harta malah langsung tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak.
“Selepas ini, saya tiada lagi kenderaan. Tetapi saya rasa ini satu cara untuk mereka membuli whistleblower seperti saya,” katanya.
Sebelum ini, Sanjeevan ditahan pada 22 Jun kerana disyaki melakukan pemerasan dan ugutan jenayah.
Media melaporkan aktivis 32 tahun yang menetap di Kajang itu diberkas Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) sebaik sahaja menerima wang perlindungan RM25,000 daripada seorang pengadu, seorang pengusaha judi 4 angka haram berusia 38 tahun.
Sejak tangkapan itu, beberapa laporan polis dibuat terhadap Sanjeevan oleh mereka yang mendakwa diperas, kata Khalid sebelum ini.
