
“Secara dasarnya saya bersetuju dan berharap ahli panel jawatankuasa dapat membuat penilaian bebas daripada kerangka aliran tertentu, misalnya Salafi atau Asy’ariyah.
“Hadis bersifat neutral dan tidak mengenal mazhab, dan Ahli Sunnah Wal Jamaah dikenali dengan kaedah usul hadis yang disepakati bersama. Kalau ada perbezaan, ia tidak melibatkan hal besar,” kata ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Perlis itu ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa itu juga boleh memainkan peranan seperti Lajnah Penyemakan dan Penilaian Teks Al-Quran di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memantau penggunaan ayat al-Quran dalam penerbitan.
“Begitu juga dengan jawatankuasa baharu ini agar dapat mengawal teks hadis yang digunakan dalam buku-buku. Namun, saya tidak pasti bagaimana mekanisme mereka untuk media sosial,” katanya.
Isnin lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis atau Lajnah Tahqiq Hadith bertujuan mengekang penyebaran hadis palsu dalam penerbitan dan media sosial.
Timbalan perdana menteri berkata, hadis palsu menyebabkan perselisihan dan hukuman tegas hasil salah tafsir atau pentafsiran acuan sendiri sehingga ada dalam kalangan mereka terbabit dengan kumpulan radikal Islam seperti IS.
Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis diketuai bekas dekan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Abdul Hayei Abdul Sukor dan dianggotai 7 ahli akademik dengan kepakaran khusus dalam ilmu hadis, termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berkata, jawatankuasa bagi mengekang penyebaran hadis palsu itu mampu menyemarakkan budaya saintifik dan bersistem dalam amalan agama.
“Sudah sampai waktunya umat Islam dididik dengan kaedah menyelidik sebelum menerima apa-apa maklumat berkaitan agama,” katanya.
Jawatankuasa baharu tapis ‘hadis palsu Syiah’, kata Harussani