
Sebahagian daripada kira-kira 200 orang diketuai Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah bertindak membaling baldi dan botol air ke dalam kawasan bangunan sambil cuba merobohkan pagar besar, selepas berarak dari Bangunan Perangsang di pusat bandar Shah Alam itu.
Armand berkata mereka berkumpul kerana tidak tahan dengan masalah air.
Beliau juga menuduh pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai tidak adil.
“Kita hadir hari ini bukan kebangkitan orang Melayu, Cina atau India tetapi sebagai rakyat Selangor, mahu keadilan bukan parti keadilan.
“Azmin tidak adil kepada rakyat Selangor. Kita tidak mahu pegawai daripada cicak mengkarung ini. Kita mahu Azmin dan pegawai PKR datang sini.
“Kita tidak larat mandi dan tengok rakyat Selangor dalam kesusahan. Azmin cicak mengkarung,” katanya.
Beberapa peserta perhimpunan dilihat membaling baldi dan botol air sambil melaungkan “Kami mahu air”, dan membawa sepanduk seperti “Azmin tidak adil”.
Beberapa bahagian di Selangor mengalami masalah bekalan air susulan kejadian pencemaran.
Empangan di Semenyih ditutup 3 kali tahun ini, mengakibatkan beberapa kawasan seperti Hulu Klang, Semenyih dan Serdang mengalami masalah air.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Zainuri Zainal berkata, kehadiran mereka bertujuan menyerahkan memorandum kepada kerajaan Selangor untuk menyelesaikan masalah air.
Katanya, masalah air berlarutan sehingga mengganggu sambutan Deepavali penganut Hindu di negeri itu, minggu lalu.
“Kita tidak mahu masalah air yang berlaku ketika ini berulang kepada kaum lain yang akan menyambut perayaan mereka nanti.
“Kita mahu Azmin mempercepatkan proses menyelesaikan masalah air dan jangan bersandiwara dengan masalah air yang semakin kritikal,” katanya.
Zainuri turut meminta polis menyiasat dakwaan Azmin kononnya BN dan Umno cuba mensabotaj kerajaan negeri melalui bekalan air di Selangor .
“Kita desak polis turut menyiasat apa yang diperkatakan Azmin, selagi dia tidak membuktikan ia dilakukan Umno dan BN. Ini satu unsur ke arah menyalahkan parti (BN/Umno),” katanya.