
Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Hamzah Rahmat tidak membantah semakan PSC tetapi menegaskan ia perlu dilaksanakan secara adil dan konsisten.
“Kenaikan PSC untuk penerbangan domestik sebanyak 83% dan 56% untuk penerbangan antarabangsa di klia2 hanya menjejaskan penumpang lebih daripada syarikat penerbangan murah yang beroperasi di terminal pengangkutan tambang murah itu.
“Kenaikan itu seolah cuba membendung pelancongan domestik dan antarabangsa ketika Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Tourism Malaysia sedang giat menarik pelancong,” katanya dalam satu kenyataan.
Rahman berkata kenaikan kadar PSC itu tidak wajar memandangkan banyak kemudahan asas yang tidak setaraf.
Menurutnya, lapangan terbang moden lain di rantau ini dilengkapi pengimbas tubuh, Malaysia masih meraba periksa penumpang.
“Kemudahan asas seperti tandas yang bersih dan peralatan keselamatan yang sewajarnya patut disediakan sebelum PSC dinaikan, kerana apa kewajaran membayar lebih sedangkan taraf perkhidmatan di lapangan terbang masih rendah.”
Rahmat menambah klia2 dibina sebagai terminal pengangkutan tambang murah bagi memenuhi keperluan syarikat penerbangan yang murah dan pengembara bajet, maka ia sepatutnya menikmati cukai lapangan terbang yang lebih rendah berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau menggesa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) supaya menyemak semula kenaikan itu, kerana menangguhkan kadar baharu baik untuk kepentingan negara.
Mavcom semalam mengumumkan semakan semula kadar PSC untuk semua lapangan terbang bermula 1 Januari 2017, dengan kenaikan caj bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.
Kadar baharu akan dikenakan ke atas tiket mulai 1 Januari.
Klia2 menyaksikan kenaikan PSC paling tinggi, iaitu RM18 untuk penerbangan antarabangsa dan RM5 untuk penerbangan domestik.
Mavcom mahu menyamakan kadar PSC di KLIA dan klia2 bagi meratakan lapangan persaingan dan menyemak semula PSC dalam masa setahun dengan hasrat untuk menyamakan kadar PSC di KLIA dan klia2 bagi penerbangan antarabangsa di luar Asean.
PAUTAN:
Caj servis penumpang penerbangan domestik, antarabangsa naik