Jawatankuasa baharu tapis ‘hadis palsu Syiah’, kata Harussani

Jawatankuasa baharu tapis ‘hadis palsu Syiah’, kata Harussani

Harussani berkata, ada pihak yang diperalat menyertai IS dan mengikut fahaman Syiah.

Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis ditubuhkan bagi mengekang penyebaran hadis palsu ciptaan pengikut Syiah, bukannya untuk campur tangan urusan agama di bawah bidang kuasa agensi kerajaan berkaitan, kata ahli jawatankuasa (AJK) itu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menganggotai jawatankuasa baharu itu berkata, ada pihak yang diperalat menyertai IS dan mengikut fahaman Syiah.

“Permasalahan khususnya dalam kalangan puak Syiah yang banyak sangat menggunakan hadis yang mereka (cipta) sendiri. Jadi, kita terpaksa berusaha atau mengawal dan tapis semua hadis yang dikemukakan.

“Kita kaji semua hadis, sama ada ia berasaskan rawi (orang yang meriwayatkan hadis nabi). Kadang-kadang rawi itu juga berbohong, dia kata dari nabi, tetapi sebenarnya nabi tidak pernah kata,” katanya kepada FMT hari ini.

Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis diketuai bekas dekan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Abdul Hayei Abdul Sukor.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu berkata, hadis palsu menyebabkan perselisihan dan hukuman tegas hasil salah tafsir atau pentafsiran acuan sendiri sehingga ada dalam kalangan mereka terbabit dengan kumpulan radikal Islam seperti IS.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai 7 ahli akademik dengan kepakaran khusus dalam ilmu hadis, bagi mengekang penyebaran hadis palsu dalam masyarakat khususnya dalam penerbitan dan media sosial.

Ia akan menjadi rujukan masyarakat, khasnya penulis serta pencetak bahan penerbitan agama dalam menentukan kesahihan hadis dan garis panduan penulisan hadis akan dikeluarkan kepada penulis untuk menyemak dan menentu sahkan hadis sebelum ditulis.

Exco Pemuda Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahya memberi jaminan, penubuhan jawatankuasa itu tidak akan mencampuri urusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

“Nak campur apa? Kita bukan majlis fatwa, kita tidak akan mencampuri urusan agama negeri kerana ia di bawah raja-raja.

“Kita hanya bertindak sebagai peneliti hadis-hadis yang tersebar. Kita fokus kepada teks hadis. Tidak kepada hukum dan fatwa,” katanya yang turut menganggotai jawatankuasa itu.

Jelasnya, penyebaran hadis palsu bukan sahaja berlaku di dalam negara, tetapi di seluruh dunia kerana ia lebih mudah disebarkan menerusi platform media sosial, seperti WhatsApp.

“Hadis palsu disebarkan tanpa orang yang menyebarkan mengetahui kesahihan. Jadi, ini tanggungjawab kita sebagai umat Islam.

“Tidak dinafikan pemalsuan hadis kini semakin meruncing. Orang kata apa yang nabi langsung tidak pernah kata, orang dakwa hadis yang bukan dari nabi,” katanya.

Putrajaya tubuh jawatankuasa pantau hadis palsu di Internet

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.