
Timbalan perdana menteri berkata perbezaan fahaman kerana hadis palsu menyebabkan perselisihan dan hukuman keras hasil salah tafsir atau pentafsiran dengan acuan sendiri sehingga ada dalam kalangan mereka terbabit dengan kumpulan radikal Islam seperti IS.
Sehubungan itu, katanya Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis ditubuhkan bertujuan menyediakan pandu arah mengekang penyebaran hadis palsu, lapor Berita Harian.
“Melalui jawatankuasa itu pengawalan dan penyemakan hadis akan dibuat terhadap kitab hadis, buku dan bahan bercetak lain,” katanya dipetik daripada akhbar itu.
Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata hadis palsu juga membangkitkan perasaan asabiah dan fahaman melampau.
“Ini menyebabkan perasaan meninggi diri dan mentafsirkan pihak yang tidak sealiran sebagai golongan tidak beriman.
“Ini cukup bahaya kerana kita lihat hadis palsu ini bercanggah dengan nas dalam Al-Quran,” katanya.
Berita Harian melaporkan Zahid sebagai berkata jawatankuasa itu akan menjadi rujukan masyarakat, terutama penulis dan pencetak bahan penerbitan agama dalam menentukan kesahihan hadis.
Katanya, garis panduan berkaitan penulisan hadis akan dikeluarkan sebagai panduan dan membimbing penulis dalam membuat semakan dan menentu sahkan hadis sebelum ditulis.