Prasarana: Pengguna LRT, monorel terima kupon percuma jika tren lewat

Prasarana: Pengguna LRT, monorel terima kupon percuma jika tren lewat

Pembayaran balik diberikan dalam bentuk kupon percuma untuk perjalanan sehala sahaja dan tempoh sah kupon adalah 5 hari dari tarikh dikeluarkan.

prasarana-lrt-monorail
KUALA LUMPUR:
Pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang tidak meneruskan perjalanan selepas mengalami kelewatan perkhidmatan LRT dan KL Monorel melebihi 15 minit boleh membuat tuntutan bayaran balik.

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bagaimanapun menegaskan hak tuntutan itu terbatal dengan sendirinya jika pengguna masih meneruskan perjalanan dengan menaiki LRT.

“Pembayaran balik itu diberikan dalam bentuk kupon percuma untuk perjalanan sehala sahaja dan tempoh sah kupon tambang percuma itu adalah 5 hari dari tarikh dikeluarkan,” menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategiknya hari ini.

Prasarana mengeluarkan kenyataan itu susulan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri di Dewan Rakyat hari ini berkenaan kelewatan perkhidmatan LRT dan Monorel dan bagaimana tuntutan boleh dilaksanakan.

Nancy ditanya Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) yang ingin tahu sama ada sistem pampasan diwujudkan bagi pengguna pengangkutan awam seperti yang dilaksanakan di United Kingdom dan Jepun bagi pengangkutan tidak menepati jadual sebagai langkah memastikan kecekapan perkhidmatan dan mendorong pengurusan LRT dan MRT untuk menaik taraf perkhidmatan.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Koh, Nancy berkata polisi yang diamalkan oleh Prasarana adalah sekiranya berlaku kelewatan melebihi 15 minit, pengguna mempunyai hak menuntut kembali tambang yang dibayar atau mendapatkan kupon sebagai tiket ganti untuk perjalanan pada keesokan harinya.

“Polisi sama akan diguna pakai untuk laluan MRT yang dijangka mula beroperasi pada hujung 2016 dan bakal dikendalikan oleh Prasarana,” katanya.

Bayar balik penumpang jika LRT, Monorail lewat 15 minit

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.