
Ia satu pendirian yang provokasi terhadap kebanyakan Muslim, tetapi Muhsin Hendricks membina satu kariah kecil dengan membantu penganutnya cuba untuk mendamaikan antara seksualiti mereka dan agama.
“Wujud hubungan sayang-benci daripada masyarakat Muslim.
“Kadangkala mereka rasa saya patut dicampak dari gunung tertinggi, dan kadangkala mereka menghargai yang ada seorang imam sanggup bekerja dengan mereka,” katanya.
Cape Town sering digambarkan sebagai “ibu kota gay” bagi Afrika, dengan daerah yang mempunyai restoran, bar, rumah tumpangan dan kelab mesra gay terletak berhampiran pusat bandar.
Pada 1996 Hendricks mengasaskan “The Inner Circle”, kumpulan sokongan untuk Muslim yang tinggal di Cape Town dan berasa ditolak kerana orientasi seksual mereka, dan akhirnya mendorong imam itu menubuhkan masjid sejak 5 tahun lalu.
Bertentangan dengan emosi yang biasanya menyelubungi topik gay dalam Islam, masjid itu menawarkan tempat yang tenang dan terbuka kepada semua gay Muslim untuk beribadat bersama.
“Saya bercerai pada usia 29 tahun selepas berkahwin dengan seorang wanita selama 6 tahun. Pada masa itu saya rasa tidak mahu lagi berselindung.
“Saya perlu jujur kepada diri sendiri dan sebahagian daripada proses itu ialah dengan keluar. Inilah diri saya dan jika ia bermakna saya akan dibunuh kerana keaslian saya, maka itu caranya yang saya pilih untuk bertemu Tuhan,” katanya.
Hendricks, 48, yang juga anak kepada seorang imam, mengembara ke seluruh dunia untuk menyebarkan mesejnya kepada gay Muslim lain iaitu supaya kekal positif.
Pada hari ini masjid yang terletak di pejabat Inner Circle itu mempunyai kira-kira 25 jemaah dan turut menawarkan upacara memberkati perkahwinan pasangan gay.
Perlembagaan Afrika Selatan pada 1996 menjadi yang pertama di dunia yang melindungi hak homoseksual, dan negara itu satu-satunya di Afrika membenarkan perkahwinan sesama jantina.
Tetapi ramai rakyat Afrika Selatan daripada semua kumpulan agama kurang toleransi dan komuniti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) sering didiskriminasikan dan berdepan keganasan.
Terdapat kira-kira 300,000 Muslim di Cape Town dan kebanyakan pemimpin masjid dengan jelas menentang homoseksualiti, malah menggalakkan pemenjaraan di rumah dan “rawatan pemulihan”.
“Homoseksualiti tidak boleh diterima dan hukumannya ialah neraka,” kata Imam Pandy, ketua masjid di Mowbray, daerah yang sibuk di Cape Town.
“Bagaimana anda boleh jadi homoseksual? Itu salah dan tugas anda sebagai imam atau Muslim untuk bercakap dengan mereka (melarang mereka berbuat demikian),” katanya.