China: Latihan terbaharu cuma mencari dan menyelamat biasa

China: Latihan terbaharu cuma mencari dan menyelamat biasa

Latihan diadakan kurang dari seminggu selepas kapal pemusnah Amerika Syariakt berlayar berhampiran Kepulauan Paracel

Wu Qian
BEIJING: Latihan terbaharu China di Laut China Selatan cuma latihan mencari dan menyelamat yang biasa, kata kementerian pertahanan China pada Khamis (27 Oktober).

Latihan diadakan kurang dari seminggu selepas kapal pemusnah Amerika Syarikat berlayar berhampiran Kepulauan Paracel, mengundang amaran dari China supaya meninggalkan kawasan itu.

China sering mengadakan latihan di laluan sibuk itu, yang turut dituntut Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Latihan mencari dan menyelamat itu diadakan di perairan wilayah Hainan dan sebahagian daripada rancangan latihan tahunan, kata jurucakap kementerian pertahanan China, Wu Qian, dalam satu taklimat bulanan bersama media.

Pengurusan keselamatan maritim China berkata latihan itu diadakan sepanjang hari, dan mengarahkan semua perkapalan supaya menghindari kawasan itu.

Pengurusan maritim itu memberi koordinat untuk kawasan yang terletak di selatan Hainan dan barat laut Kepulauan Paracel, yang dituntut Vietnam dan Taiwan, tapi dikuasai China.

China mempunyai landasan kapal terbang di Pulau Woody, penumpuan terbesarnya di Kepulauan Paracel, dan meletakkan peluru berpandu permukaan ke udara di situ, menurut pegawai Amerika Syarikat.

Tuntutan Beijing di Laut China Selatan merupakan yang terbesar berbanding negara lain. China berkata ia berhak melakukan apa sahaja di pulau yang dituntutnya kerana ia sebahagian daripada China sejak dahulu kala.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.