
Penyokong pengharaman itu berhujah pengharaman diwajarkan Perlembagaan, yang melarang sebarang undang-undang yang bercanggah dengan Islam.
Tetapi sebahagian pengkritik berhujah ia juga melanggar Perlembagaan yang menjamin budaya masyarakat agama minoriti.
Menurut seorang ahli Parlimen dan pegawai Parlimen, pengharaman itu ditambah dalam draf undang-undang pihak berkuasa tempatan pada saat-saat akhir dan menyebabkan kem anti-pengharaman tergamam.
Undang-undang itu diluluskan oleh ahli Parlimen di Baghdad ketika dunia tertumpu ke utara negara itu, yang menyaksikan operasi ketenteraan terbesar sedang bertempur dengan IS dan mahu menawan bandar Mosul.
“Satu undang-undang diluluskan hari ini dan Perkara 14 undang-undang itu mengharamkan import, penghasilan dan penjualan semua jenis alkohol,” kata Yonadam Kanna, seorang ahli Parlimen Kristian, kepada AFP pada Sabtu.
“Setiap pelanggaran undang-undang boleh didenda 10 juta hingga 25 juta dinar (RM33,480 hingga RM83,700),” katanya.
Kanna berikar akan membuat rayuan terhadap undang-undang itu di mahkamah persekutuan.
Alkohol jarang disajikan di restoran dan hotel di Iraq, tapi penggunaannya agak meluas, terutamanya di Baghdad dimana terdapat banyak kedai kecil-kecilan menjual minuman beralkohol boleh ditemui.
Iraq juga mempunyai beberapa syarikat yang menghasilkan pelbagai jenis alkohol, seperti bir Farida atau arak Asriya (arak berperisa jintan manis).
Kanna berang selepas pengundian itu, mengeluarkan kenyataan dan membuat penampilan di kaca televisyen membantah undang-undang baharu itu.
“Perkara dalam undang-undang itu melanggar Perlembagaan, yang menjamin kebebasan masyarakat minoriti,” katanya.
Perkara 2 Perlembagaan menyatakan ia “menjamin identiti Islam majoriti rakyat Iraq dan menjamin sepenuhnya hak kebebasan beragama semua individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya,” seperti Kristian, Yazidi dan Sabiah.
Ammar Toma, seorang ahli Parlimen yang mengundi untuk menyokong pengharaman itu berhujah Perlembagaan sebenarnya melarang penjualan, penghasilan dan mengimport minuman beralkohol.
“Perlembagaan menyatakan kamu tidak boleh meluluskan undang-undang yang bercanggah dengan Islam,” katanya kepada AFP, merujuk kepada perkara yang menetapkan “sebarang undang-undang yang bercanggah dengan peruntukan undang-undang Islam sedia ada tidak boleh ditetapkan.”
Kanna dan Toma juga berbeza pendapat tentang impak pengharaman itu.
“Undang-undang ini akan menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan, penggunaan dadah akan meningkat, ekonomi akan terjejas,” kata Toma, sorang wakil rakyat Syiah daripada parti Fadhila.
Pemantau berkata penyalahgunaan dadah sedang meningkat di Iraq muktahir ini, terutamanya di bandar Basra di selatan negara itu, dimana penyeludupan dari negara jiran Iran sangat pesat dan alkohol hanya boleh didapati di pasaran gelap.
Toma menolak penilaian Kanna dan berkata “kesan alkohol ke atas masyarakat sangat hebat, termasuklah kerosakan moral, terorisme dan gejala sosial.”
“Manakala bagi orang yang bakal kehilangan pekerjaan, kerja baharu boleh dicarikan untuk mereka,” katanya tanpa mengulas lanjut.