
“Saya sedih dan kecewa kerana kegiatan mencuri pasir yang tak sepatutnya berlaku, masih ada (berlaku) di Pahang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas mengiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah merasmikan “2nd World Congress on Integration and Islamicisation: Focus on Medical and Health Care Sciences” di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan di sini.
Adnan berkata prosedur mendapatkan lesen perlombongan pasir yang dipermudahkan itu, membolehkan sesiapa saja mengemukakan permohonan melombong.
Katanya, permohonan akan diluluskan Jawatankuasa Pembangunan Tetap (Pasir) di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) kecuali bagi permohonan melombong pasir sungai yang melibatkan kawasan melebihi lapan hektar yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri.
“Saya dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Seri Muhammad Safian Ismail sebenarnya tidak tahu berlaku kegiatan mencuri pasir dan saya tak faham kenapa perlu mencuri.
“Tak perlu mencuri kerana jika ada permohonan boleh diluluskan. Jika sudah kena tangkap, maka tanggunglah akibatnya kerana boleh diminta cara elok,” katanya.
Isnin lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 3 lelaki termasuk seorang kakitangan PTD Temerloh kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri pasir sungai Pahang sejak 2 tahun lalu.
SPRM turut mengenal pasti 10 anggota penguatkuasa yang bersubahat melindungi sindiket berkenaan dan difahamkan kegiatan mencuri pasir itu menyebabkan kerajaan Pahang kerugian RM180,000 sebulan.
Sementara itu, Adnan menegaskan air sungai Semantan di Bentong, dekat sini yang disalurkan ke Selangor, adalah elok dan tidak mengalami pencemaran sebagaimana dimaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang.
“Air yang dihantar elok dan kualitinya disahkan sebagai kelas II (memerlukan rawatan biasa),” katanya sambil menambah kerajaan Selangor dialu-alukan untuk datang sendiri dan melihat kualiti air berkenaan.
Kerajaan Selangor sebelum ini mendakwa penutupan loji rawatan air di Cheras dan Langat disebabkan pencemaran air Sungai Semantan yang disalurkan, meskipun dakwaan dinafikan JAS Pahang.