
Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, tindakan anggota APM mengarahkan 45 kanak-kanak merentasi kolam berlumpur sebelum mencampak ular ke dalamnya, baru-baru ini, sangat keterlaluan sehingga menyebabkan peserta trauma.
“Tujuan memberi motivasi itu baik, tetapi cara pelaksanaannya dan kaedah melampau itu dilihat tidak munasabah.
“Memang patut digantung keseluruhan program berkenaan serta-merta. Jurulatih berkenaan juga digantung tugasnya. Dan saya cadangkan kem berkenaan disenarai hitamkan,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata, bertambah mengejutkan apabila peserta mendakwa mereka dibawa ke tanah perkuburan Kristian pada jam 2 pagi.
Namun, ia sudah dinafikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Datuk Selamat Dahalan, hari ini.
“Kita harapkan siasatan menyeluruh dilakukan dari awal hingga akhir program itu. Mungkin (campak) ular itu kita nampak sebahagian. Yang terlalu ekstrem perlu diselongkar dan dilaporkan sepenuhnya,” katanya.
Beberapa hari lalu, satu rakaman video lebih 2 minit tersebar di media sosial dan mendapat kritikan netizen apabila beberapa murid di dalam kolam berselut itu menangis dan menjerit, selepas jurulatih mencampakkan ular ke dalamnya.
Rakaman itu juga menunjukkan beberapa anggota APM menyiram air dan menyergah pelajar sepanjang modul itu. Seramai 45 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beluru menyertai program perkhemahan itu di perkarangan pejabat APM Kuala Kangsar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilaporkan berkata, semua modul bina diri untuk unit beruniform APM bagi sekolah rendah akan dikaji semula, tetapi pihaknya tidak bercadang menghentikan program perkhemahan unit beruniform APM, hanya modul merentasi kolam digantung serta-merta.
Shahidan berkata, seramai 10 anggota APM digantung tugas setakat ini dan mereka semuanya anggota sukarelawan.
“Seorang daripadanya yang mencampakkan ular ke dalam kolam digantung daripada semua kerja APM. Sembilan yang lain digantung terlibat dalam latihan APM membabitkan sekolah,” katanya.
Ali berkata, Kementerian Pendidikan perlu menyemak sebarang program motivasi sedemikian.
“Mungkin ada dalam kalangan mereka tidak mengikut modul yang ditetapkan dan menokok tambah tanpa persetujuan pihak atasan dalam kem tersebut.
“Kementerian perlu diberi maklumat awal tentang modul-modul nak dilaksanakan lebih awal agar dapat melihat kesesuaian dan kerelevanan modul yang ingin dijalankan,” katanya.