Guru hantar video lucah patut jalani pemulihan akhlak

Guru hantar video lucah patut jalani pemulihan akhlak

Presiden PIBGN berkata guru yang didapati mengulangi kesalahan itu selepas dihukum dan diberi amaran, sepatutnya diberhentikan daripada menjadi pendidik.

Datuk Dr Mohamad Ali
PETALING JAYA: Setakat amaran bertulis dan tindakan tukar sekolah ke atas guru yang bersalah kerana menyebarkan video lucah tidak memadai, kata Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Presidennya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata hukuman seperti itu tidak akan membantu guru berkenaan insaf, malah mungkin akan mengulangi perbuatan itu di sekolah baharu.

“Guru yang menyalahgunakan kemudahan teknologi melakukan kesalahan serius, sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku kerana ia menjadi contoh tidak baik yang dibimbangkan menjadi ikutan pelajar.

“Surat tunjuk sebab dan menukar guru besar atau guru tidak cukup kerana mereka yang melakukan kesalahan itu perlu menjalani sesi kaunseling atau pemulihan akhlak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Kementerian Pelajaran yang mengeluarkan amaran bertulis kepada seorang guru besar di Sabah dan menukarkannya ke sekolah lain, kerana memuat naik video lucah dalam satu kumpulan WhatsApp.

Mohamad juga menyarankan guru terbabit dipecat jika mengulangi kesalahan sama selepas diberi peluang berubah.

“Pertama hantar surat tunjuk sebab, tukar sekolah, kaunseling dan kemudian kalau berlaku lagi, guru terlibat perlu digantung atau dibuang. Tetapi ia terpulang kepada jawatankuasa disiplin untuk membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarulzaman Abdul Razak berkata kesalahan seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kepada warga pendidik kerana ia mungkin boleh menghilangkan rasa hormat pelajar dan masyarakat terhadap guru.

“Ia tidak elok kerana akan mencemarkan bidang perguruan dan tahap kepercayaan murid kepada guru akan berkurangan. Jadi saya harap guru boleh menjadi contoh kepada murid dan masyarakat supaya terus dihormati,” katanya.

 

 

Sebar video lucah: Guru besar diberi amaran, ditukar sekolah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.