
Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pemegang KADS1M sukar mendapat diskaun apabila syarikat-syarikat rakan kongsi yang terlibat dalam program itu terlalu banyak memberi syarat.
“Program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ini perlu dikaji balik. Syarikat yang bekerjasama perlu menunaikan janji mereka dengan memberi diskaun seperti ditetapkan.
“Manakala syarat-syarat seperti tempoh masa tertentu dan barangan tertentu juga tidak seharusnya berlaku. Jika tidak, tujuan mengurangkan kos sara hidup pelajar tidak berkesan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar Berita Harian yang menyatakan pemegang KADS1M sukar mendapat diskaun disebabkan kegagalan syarikat tersenarai sebagai rakan dagang memenuhi janji memberi potongan harga.
Ia menyebabkan lebih 2 juta pemegang KADS1M tidak menikmati sepenuhnya matlamat program itu.
Program KADS1M anjuran KPDNKK ini dilancarkan sejak 4 tahun lalu yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup pelajar di institusi pengajian tinggi.
Menerusinya, lebih 400 syarikat berdaftar dengan KPDNKK menawarkan diskaun atau potongan harga pada kadar tertentu bagi barangan atau perkhidmatan ditawarkan mereka.
Antara syarikat yang menjadi rakan dagang itu adalah KFC, Mydin, Chicken Rice Shop, Rapid KL, Golden Screen Cinema (GSC), Focus Point dan Aeon.
Namun terdapat syarikat menolak penggunaan kad terbabit selain banyak premis mengenakan pelbagai syarat.
Menurut Yusof, sebagai contoh Mydin hanya memberi diskaun sebanyak 5 hingga 10% ke atas barangan bukan makanan dan tiada diskaun bagi barangan makanan, yang ia tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, syarikat-syarikat terbabit perlu memberi keutamaan kepada barang makanan yang menjadi keperluan penting pemegang KADS1M.
“Selain itu, barangan keperluan lain seperti alat tulis dan keperluan pembelajaran juga perlu diutamakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa KPDNKK memanggil semua syarikat itu dan mengkaji semula jenis diskaun dan syarat yang ditetapkan.
“Ini bertujuan bagi kebaikan kedua-dua pihak sama ada pemegang KADS1M dan syarikat rakan dagang dalam program itu.
“Sekiranya tiada syarat tertentu ditetapkan, pastinya ramai pelanggan terutama pemegang KADS1M akan datang ke premis mereka dan memberi keuntungan kepada syarikat tersebut,” katanya.