
Asma Assad, 41, berkata demikian dalam satu temu bual yang disiarkan saluran televisyen berpangkalan di Moscow, semalam. Ia temu bual pertamanya dengan media antarabangsa sejak perang meletus di Syria pada 2011.
Beliau berkata tawaran “bodoh” itu dibuat dengan tujuan untuk melemahkan keyakinan terhadap suaminya.
“Saya ditawarkan peluang untuk meninggalkan Syria atau sebenarnya lari dari Syria,” kata Asma dalam temu bual sepanjang 33 minit yang dibuat dalam bahasa Inggeris itu.
“Anda tak perlu jadi orang bijak untuk tahu apa yang orang berkenaan mahu sebenarnya. Ia bukan demi kesejahteraan saya atau anak saya pun. Ia hanya satu cubaan sengaja untuk menggoyahkan keyakinan rakyat terhadap presiden mereka.”
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan siapa yang membuat tawaran itu.
Asma mengelak daripada media antarabangsa sejak siri bantahan bermula di Syria dalam kebangkitan protes itu pada 2011.
Ketika kerajaan cuba mematahkan protes demi protes, negara itu terjebak dalam perang saudara yang juga menyaksikan negara lain menjadi pihak lawan.
Asma bagaimanapun memainkan peranan penting dalam menunjukkan sokongan kepada keluarga anggota tentera yang terkorban atau cedera dalam peperangan, serta sering berada di hospital dan upacara pengebumian.
Konflik di Syria setakat ini mengorbankan lebih 300,000 orang dan mengucar-ngacirkan 23 juta populasi pra peperangan sejak Mac 2011, dengan kebanyakannya masih berada dalam negara itu.
Asma berkata semua yang berada di Syria berdepan dengan risiko kerana perang.
Tetapi Asma berkata:”Saya tidak mahu hidup dalam ketakutan.”
Katanya, bantuan daripada rakan Damascus seperti Rusia sangat bernilai untuk mengurangkan kesengsaraan rakyat daripada konflik dan sekatan itu.
“Usaha murni seperti ini yang membantu mengurangkan cengkaman terhadap rakyat biasa Syria dan ia sesuatu yang kami tidak akan lupakan.”