
Pengkritik sukan itu berkata bagaimana Najib mahu membangunkan prestasi bola sepak sedangkan pemimpin nombor satu negara itu tidak pernah bermain bola sepak apatah lagi mempunyai pengetahuan dalam bidang itu.
“Perdana menteri mesti faham tentang bola sepak, kita nak tahu apa pengetahuan dan pengalaman yang dia ada. Bukan hanya kerana dia perdana menteri secara automatik boleh jadi presiden FAM.
“Cadangan itu saya rasa tidak masuk akal, inilah masalah kita sekarang mereka tidak tahu bagaimana nak mencari jalan sesuai untuk memajukan bola sepak negara. Bagi saya generasi sekarang semua tidak tahu memajukan bola sepak,” katanya kepada FMT.
Khoo berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan bekas naib presiden FAM Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddi Raja Omar supaya Najib mengambil alih kerusi nombor 1 badan induk itu pada penggal seterusnya memandangkan Najib calon yang menepati kredibiliti dan mempunyai pengaruh besar.
Beliau berkata cadangan itu selaras dengan sejarah presiden FAM yang menyaksikan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan juga bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein pernah memegang jawatan itu.
“Bagi saya Datuk Seri Najib seorang tokoh yang hebat, dia boleh bagi semangat dan motivasi kepada pemain dalam usaha mengembalikan martabat bola sepak negara,” katanya dipetik daripada Utusan Malaysia.
Malah umum juga mengetahui perdana menteri peminat tegar pasukan bola sepak Manchester United (MU) apabila sering memuat naik perkembangan pasukan yang diminati itu menerusi Twitter.
Khoo berkata kebolehan Najib berbeza dengan pengalaman yang ada pada Tunku Abdul Rahman kerana beliau pernah mewakili kolej di Universiti Cambridge dalam sukan bola sepak.
“Tunku Abdul Rahman mewakili kolej dalam sukan bola sepak ketika di Universiti Cambridge. Beliau bukan dipilih menjadi presiden FAM kerana beliau perdana menteri, tetapi kerana berpengalaman dalam sukan bola sepak.
“Malah beliau mewakili universiti, berbanding perdana menteri (Najib) yang tidak ada pengalaman dalam bola sepak, bagaimana beliau hendak bangunkan mutu bola sepak negara,” katanya.
Pautan:
Tak pakai otak, Khoo Kay Kim bidas pasukan bola sepak negara