
Menurut laporan The Star, cadangan itu didedahkan Penasihat Big Blue Capital Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail ekoran “penghijrahan” puluhan ribu pemandu teksi ke perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan Grab.
“Syarikat teksi mungkin perlu menghapuskan model sewa, sebaliknya memilih untuk mengupah pemandu dengan memberi gaji tetap.
“Berdasarkan kadar peralihan pemandu teksi, setiap syarikat teksi sedang menggali lubang sendiri dan ia termasuk saya. Mereka (pemandu teksi) tidak peduli jika tiada liputan,” katanya yang dipetik The Star.
Shamsubahrin yang menentang perkhidmatan perkongsian kenderaan berkata, ia berpunca daripada pemandu teksi mengurangkan kadar sewa untuk kenderaan persendirian yang digunakan sebagai rakan kongsi memandu Uber atau Grab.
Kebiasaannya, pemandu teksi konvensional perlu membayar sehingga RM90 setiap hari untuk menyewa kenderaan daripada syarikat teksi.
Jumlah itu perlu dibayar, tanpa mengambil kira jika pemandunya tidak sihat atau tidak boleh memandu.
Akhbar itu memetik pegawai sebagai berkata, Grab sedang memancing pemandu teksi dengan sewa mingguan RM250 bagi kereta baharu berbanding RM630 yang dikenakan syarikat teksi.
Minggu lalu, FMT memetik jurucakap Badan Bertindak Pemandu Teksi Bersatu, Rosman Rahman sebagai berkata, kira-kira 30,000 pemandu teksi di seluruh negara perlu meninggalkan syarikat teksi untuk menyertai Grab dan Uber.
Katanya, syarikat teksi juga mula menyewakan kereta persendirian kepada pemandu teksi yang hendak “berhijrah” susulan tindakan kerajaan menghalalkan perkhidmatan perkongsian kenderaan.
Pada 10 Ogos lalu, Kabinet memberi lampu hijau kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membenarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab beroperasi di negara ini.
Ia susulan pembentangan SPAD yang menunjukkan 80% penumpang Malaysia memilih perkhidmatan perkongsian kenderaan berbanding teksi konvensional.
SPAD sedang membuat pindaan terhadap undang-undang sedia ada dan mungkin menggubal rang undang-undang baharu untuk agensi kerajaan berkaitan ke arah menghalalkan Uber dan Grab.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, nasib Uber dan Grab akan ditentukan tahun depan, bagi membolehkan kerajaan melaksanakan beberapa program dan reformasi untuk memastikan keadaan lebih adil dalam pemberian permit teksi persendirian dan kawalan perkhidmatan e-hailing.
Pautan:
Pemandu teksi berhimpun depan Parlimen bantah kerajaan ‘halalkan’ Uber, Grabcar