
Peguam, Syahredzan Johan berkata, Pandikar secara dasarnya salah faham fungsi “sub judice” berhubung tindakan merampas aset DoJ di AS.
“Macam mana apa yang dicakap dan dibincangkan di sini (Malaysia) mempunyai pengaruh di sana (AS),” tulisnya di Twitter sebagai respons terhadap keputusan Pandikar semalam.
Beliau berkata, saman dan isu 1MDB perlu dibincangkan di Dewan Rakyat kerana ia adalah isu negara memandangkan dana awam disalahgunakan.
Malah di Malaysia, katanya, isu “sub judice” tidak relevan kerana mahkamah di negara ini tidak lagi mempunyai perbicaraan juri dalam kes jenayah.
“‘Sub judice’ timbul kerana ada perbicaraan juri. Seluruh idea ialah jika orang bercakap mengenai kes itu di luar mahkamah, juri mungkin terpengaruh.”
Semalam, Pandikar berkata, menteri tidak perlu menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat berhubung DoJ kerana kes itu masih dibicarakan di mahkamah AS, jadi ia adalah “sub judice”.
Saman sivil DoJ mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM14.78 bilion) diseleweng daripada 1MDB, tetapi aset berjumlah AS$1 bilion (RM4.2 bilion) sudah dikesan.
Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan menjawab soalan mengenai sumbangan RM2.6 bilion di Parlimen, dengan mendakwa Datuk Seri Najib Razak menyalahi peraturan “sub judice”.
Ketika itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat Najib berhubung perkara itu, tetapi peguam negara membersihkan nama perdana menteri daripada sebarang kesalahan, sebulan kemudian.
Peguam, Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata, sebagai speaker Dewan Rakyat, Pandikar sepatutnya bertindak sebagai semak dan imbang kepada Kabinet.
Jika tidak, katanya, pengasingan kuasa antara 3 cabang kerajaan, termasuk badan kehakiman akan terhakis.
“Jika prinsip ‘sub judice’ digunakan sekarang, kenapa agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) mempelawa Arul Kanda daripada 1MDB untuk memberi ceramah. Bukankah ini bertentangan prinsip ‘sub judice’?” tulisnya di Facebook.
Haniff yang mengendalikan kebanyakan kes sivil bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menggesa kerajaan dan pihak bersubahat dengannya untuk berhenti terus menipu dan mengelirukan orang ramai.
Beliau berkata, rakyat sudah “muak dan bosan” dengan Kabinet dan speaker.
“Ingat Pandikar, anda sudah mengangkat sumpah untuk menegakkan Perlembagaan. Oleh itu, anda tidak patut menipu Perlembagaan.”