
Ketua Wanita PPBM Anina Saadudin berkata, pemimpin Umno tidak seharusnya memandang rendah kekuatan parti baharu itu kerana mereka sendiri ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Yang berfantasi adalah pemimpin-pemimpin Umno termasuk ketua penerangan Umno yang masih hidup mewah seperti di syurga dan menyangka rakyat adalah hamba yang bodoh serta senang dipergunakan.
“Setiap hari pemimpin Umno berfantasi di media arus perdana, seolah-olah mereka lupa pencapaian PRU13 adalah tercorot dalam sejarah PRU di Malaysia. Ketika itu hanya wujud isu lembu dalam kondo.
“Mereka harus sedar dalam PRU14, rakyat sedang meronta-meronta berkenaan isu hutang RM42 bilion oleh 1MDB (1Malaysia Development Berhad); kewujudan RM2.6.bilion dalam akaun peribadi presiden Umno; isu kononnya nak saman WSJ (Wall Street Journal) pada Selasa depan; isu penyitaan harta anak tiri perdana menteri dan Jho Low oleh DoJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) dan banyak lagi,” katanya.
Anina berkata demikian kepada FMT bagi membidas kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang yakin PPBM tidak mampu menawarkan kelebihan kepada pakatan pembangkang berikutan masih dalam situasi “cuba mencuba” malah tidak ubah seperti berada di alam fantasi.
Katanya, berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang berada di alam realiti, malah sudah puluhan tahun mencapai persefahaman yang jitu bersama-sama parti komponen yang lain.
“Realitinya, presiden Umno itu adalah seorang pencuri, perompak dan penyamun.
“Daripada realiti itulah PPBM hidup, atas linangan air mata rakyat yang dihimpit isu GST; kenaikan harga barang; penghapusan subsidi; penarikan biasiswa pendidikan; pengurangan peruntukan untuk sekolah dan hospital; keuzuran nilai mata wang; ketiadaan kemasukan pelaburan asing; perpindahan syarikat asing ke negara luar; kehilangan peluang pekerjaan dan sebagainya,” tambah Anina.
Pautan: