
Menurut Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wajib, amalan berkhatan atau khitan di Malaysia berbeza dengan masyarakat Islam di negara lain kerana ia hanya melalukan mata pisau di bahagian “kelentit” dan digalakkan dalam Islam.
“Sebenarnya khatan untuk wanita di sini hanyalah melalukan pisau di hujung kelentit untuk mengurangkan nafsu dan berbeza dengan khatan di luar negara yang membuang sepenuhnya. Ia haramkan dalam Islam kerana memudaratkan dan menyakitkan. Kita di Malaysia tidak sampai ke tahap itu.
“Perkara ini sudah dibincangkan dalam Majlis Fatwa. Apa yang dilakukan negara luar adalah melampaui batas tatasusila manusia,” katanya kepada FMT.
Justeru, beliau menyokong tindakan pihak berkuasa Mesir yang mengharamkan khatan “memotong genitalia wanita” (FGM) kerana ia memudaratkan seperti dilakukan di kebanyakan negara luar.
Terbaharu, doktor perubatan dan aktivis Islam Malaysia menyokong agar amalan khatan kepada kanak-kanak perempuan perlu diharamkan sebagaimana Mesir, apatah lagi ia tiada kaitan dengan ajaran Islam.
“Tiada satu pun ayat Al-Quran atau hadis mewajibkan khatan kepada perempuan,” kata pakar kardiotorasik dan pensyarah kanan jurusan perubatan di Universiti Monash, Dr Farouk Musa.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Noor turut sependapat yang ia tidak perlu diharamkan di Malaysia kerana pelaksanaannya berbeza.
“Khatan untuk lelaki wajib, untuk perempuan pula ulama berbeza pendapat. Sesetengahnya berpendapat hukumnya sunat atau harus asalkan tidak memudaratkan fizikal dan seksual sehingga boleh menjejaskan kewajipan kepada suami di kemudian hari.
“Bagi memastikan ia tidak bertentangan dengan agama, panduan kepada pihak yang melakukan khatan terutamanya pihak hospital perlu diberi supaya ia menepati syarat,” katanya.
Bagaimanapun, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria amat menyokong amalan itu memandangkan Malaysia bermazhab Shafie yang mewajibkan khatan kepada lelaki dan wanita.
“Tetapi mazhab lain mengatakan perempuan tidak wajib dan kita di Malaysia bermazhab Shafie perlulah ikut,” katanya ketika dihubungi.
Pautan:
Mesir lulus hukuman lebih berat tangani amalan khatan perempuan