
Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, tumpuan BAM ialah membina sebuah institusi mampu melahirkan pemain berkualiti ke peringkat tertinggi.
“Sejak kita ambil alih, kita nampak beberapa kejayaan antaranya kita melahirkan pemain seperti Goh Jin Wei yang baru-baru ini menjuarai Kejohanan Remaja Dunia di Peru. Dia kini baru berusia 16 tahun sudah bermain di peringkat remaja, tetapi mampu ke peringkat lebih tinggi.
“Kejayaan lain juga kita mendapat 3 pingat perak pada Olimpik Rio 2016. Inilah hasil daripada sistem yang digunakan masa ini,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kritikan bekas jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek terhadap tindakan BAM sering menukar jurulatih dan menjadikan proses pembangunan pemain, khasnya untuk skuad pelapis negara ketika ini begitu umum.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan BAM mengambil jurulatih boleh melatih dan mengembangkan bakat pemain, bukan sekadar pandai mengarah kerana negara memerlukan jurulatih mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan dan menghasilkan modul baharu untuk mengatasi negara lain.
Norza menerima kritikan Misbun itu dan berjanji memperbaiki kelemahan sistem BAM sekarang.
“Kita terima kritikan Misbun itu secara positif kerana kita tahu sukan badminton ini dekat dengan hati peminat dan mungkin sudah menjadi sukan nombor 1 negara.
“Namun, kita tahu proses kita dan yakin sistem yang ada hari ini. Kita juga akan baiki untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang. Jika perubahan itu sihat, kita akan ambil dan baiki,” katanya.