Pelan SPR, usul Hadi dijangka hangatkan Parlimen

Pelan SPR, usul Hadi dijangka hangatkan Parlimen

Buat pertama kalinya, Muhyiddin akan mewakili pembangkang di Dewan Rakyat yang memulakan sesi terakhirnya tahun ini.

parliment-1
PETALING JAYA:
Sesi terakhir Dewan Rakyat tahun ini yang bermula hari ini dijangka panas dengan pelbagai isu bakal diperdebatkan, termasuk pelan persempadanan semula Suruhunjaya Pilihan Raya (SPR) dan rang undang-undang (RUU) persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Perhatian juga akan tertumpu kepada Ahli Parlimen Pagoh yang kini memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), iaitu kali pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri Parlimen sebagai pembangkang.

Kedua-dua pihak dijangka terlibat dalam perdebatan hangat mengenai rancangan SPR melukis semula peta pilihan raya, yang dibantah parti politik khususnya Pakatan Harapan kerana mendakwa ia usaha memenangkan Barisan Nasional (BN) dengan menambah bilangan pengundi di kubu pembangkang supaya kerusi Parlimen diwakili mereka berkurangan.

Perhatian juga akan tertumpu kepada usul Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dibentangkan pada Mei lalu, bagi meminta Akta 355.

Pindaan itu bertujuan memberikan kuasa lebih kepada mahkamah syariah membicarakan kesalahan jenayah melibatkan orang Islam dan menjatuhkan hukuman lebih berat. Ia dikatakan permulaan usaha PAS memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.

Mesyuarat kali ini juga akan menyaksikan RUU mengenai pertukaran agama, dalam usaha menghindari perebutan hak penjagaan melibatkan pasangan berlainan agama, salah satu daripada mereka Islam.

Ahli Parlimen DAP, M Kulasegaran berkata beliau difahamkan perkara itu akan dibangkitkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

“Saya berharap ia akan disenaraikan dalam kertas perintah,” katanya kepada FMT.

Sementara wakil rakyat Batu dari PKR, Tian Chua bimbang dengan usaha kerajaan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menyekat kebebasan bersuara dalam Internet, seperti di Singapura.

Tidak semua isu yang dibincangkan bakal menyaksikan pertikaman lidah.

Kerajaan dan pembangkang dijangka bersatu mengenai RUU Jenayah Seksual Kanak-Kanak, undang-undang yang dicadang digubal selepas pendedahan jenayah seks melibatkan warga Britain, Richard Huckle baru-baru ini.

Huckle dipenjarakan di Britain pada Jun lalu selepas disabitkan dengan 71 kesalahan seks serius melibatkan kanak-kanak ketika menyamar sebagai seorang guru, jurugambar dan penggiat agama Kristian di Malaysia.

Pemerhati politik Sivamurugan Pandian berharap wakil rakyat mengutamakan kepentingan awam ketika berdebat.

“Ahli Parlimen tidak patut memikirkan kepentingan parti mereka, tetapi rakyat yang memberikan mandat kepada mereka,” katanya.

Sivamurugan menjangkakan sesi kali ini akan lebih tertumpu kepada pembentangan Bajet 2017.

Dewan Rakyat bersidang 25 hari manakala Dewan Negara 10 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.