
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ia berikutan adanya kemungkinan anggota kumpulan militan itu pulang ke negara asal atau mencari perlindungan di negara tertentu susulan tindakan tersebut.
“Kita arahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melihat perkembangan di sana…kita bimbang kalau sekiranya (tindakan) ofensif itu berjaya, bermakna ramai yang terlibat (IS) di Syria dan Iraq mungkin membuat perancangan balik ke negara asal atau lari ke kawasan tertentu.
“Jumlah mereka bukan kecil. Mereka mungkin melarikan diri dan kita mesti mengambil tindakan yang proaktif,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Media melaporkan Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi mengumumkan serangan tentera bersekutu diketuai AS bermula hari ini bagi menawan semula pusat pemerintahan IS di Mosul.
Hishammuddin berkata Malaysia juga mahu memperkukuh perkongsian maklumat mengenai ancaman IS dengan AS, Perancis dan Turki.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan Asean-AS di Hawaii, baru-baru ini.