
Menurut laporan Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015, kajian dibuat bagi meningkatkan ciri daya huni di Kuala Lumpur disebabkan sifat trem yang lebih efisien dan mesra alam.
Kajian akan menyentuh secara khusus permintaan sebenar daripada aspek penumpang, impak ekonomi diunjurkan serta langkah teknikal dan kewangan diperlukan untuk menyokong pengendalian trem.
Inisiatif itu dinyatakan menerusi Rancangan Pembangunan Rel Bandar merupakan sebahagian Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Greater KL bagi meningkatkan pengalaman perjalanan menggunakan sistem
rel.
Selain itu, kajian Pembaikan Batuan Pertama dan Terakhir Rel Bandar Greater KL akan turut dilaksanakan bagi merancang prioriti dan pelan jangka panjang terhadap akses pengangkutan, termasuk kesalinghubungan dan cakupan dengan mod lain.
Menurut PTPAD, undang-undang kecil juga akan dicadangkan sebagai rangka kerja bagi memastikan penggunaan aset kereta api secara optimum.
Dalam perkembangan lain, laporan itu menyatakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang disasarkan siap pada November 2019.
Projek itu akan melibatkan penyusunan landasan dan alat persemboyanan baharu bagi menggantikan alat lama berusia 20 tahun, pemasangan sistem radio, naik taraf 16 stesen dan pembinaan sebuah sistem bekalan di Sentul, Kuala Lumpur untuk menjana tenaga elektrik tambahan, selain menambah kekerapan tren.
Projek KVDT itu akan dilaksanakan dalam 4 fasa, membabitkan fasa 1A dari Rawang hingga Simpang Batu; Fasa 1B (Kuala Lumpur-Simpang Pelabuhan Klang); Fasa 2 (Simpang Batu-Kuala Lumpur); Fasa 3 (Sentul-Simpang Batu) dan Fasa 4 (Simpang Pelabuhan Klang-Salak Selatan).
Laporan PTPAD dikeluarkan sempena Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2016 dan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.