Ini salah, Hizbullah bidas amalan melampau Syiah

Ini salah, Hizbullah bidas amalan melampau Syiah

Amalan 'melampau' segelintir pengikut aliran Syiah ketika memperingati Asyura dipertikaikan pemimpin Hizbullah, parti politik Lubnan yang didominasi umat Islam beraliran Syiah.

syiah
KUALA LUMPUR:
Parti Hizbullah di Lubnan yang diterajui pimpinan beraliran Syiah menyelar amalan melampau sesetengah pengikut mazhab itu ketika menyambut Asyura, di mana pelbagai upacara perkabungan diadakan bagi memperingati kematian cucu Nabi Muhammad, Hussein.

Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah dalam ucapan awal bulan ini berkata, beberapa amalan termasuk mencederakan diri yang dilakukan segelintir pengikut Syiah tidak menggambarkan makna sebenar Asyura, yang cuba menghidupkan kembali peristiwa Karbala, Iraq lebih 1000 tahun lalu yang menjadi antara insiden utama perpecahan umat Islam.

“Ia (Asyura) adalah berkisar keperwiraan dan pertarungan berdarah, malapetaka yang penuh tragik.

“Tetapi ada kala banyak tokok tambah dibuat bagi mengekspresikan dimensi manusia – hanya untuk membuatkan orang merasa sedih,” katanya seperti dipetik stesen televisyen milik Hizbullah, Al-Manar, 10 Oktober lalu, sehari sebelum sambutan Asyura yang jatuh pada kalendar Hijrah 10 Muharam setiap tahun.

Nasrallah menyebut beberapa contoh seperti tindakan mencederakan diri sendiri sehingga berdarah, mengusung keranda berisi patung yang digambarkan sebagai Hussain, serta upacara berjalan dengan leher, kaki dan tangan yang dirantai.

“Agama dan mazhab apakah ini? Apakah (amalan itu) ada dalam naratif dan hadis kita? Anda menunjukkan gambaran salah kepada dunia.

“Kisah Hussain dan Karbala adalah tentang maruah dan kemulian. Anda mendakwa menangisi Hussain, tetapi andalah yang melakukan penghinaan besar kepadanya dan Ahlul Bait (keluarga Nabi Muhammad),” kata Nasrallah.

Pengikut Syiah kerap menerima kritikan daripada ulama Sunni atas beberapa amalan yang dianggap sesat, termasuk amalan “tatbir”, iaitu mencederakan diri sendiri sehingga mengalirkan darah, yang dianggap sebagai meratapi kematian Hussain.

Ajaran Syiah, yang diamalkan di Iran, Iraq, Kuwait, Bahrain, Yaman, Arab Saudi dan beberapa negara Islam lain difatwakan “sesat” oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.

Minggu lepas, Jabatan Agama Islam Selangor menahan kira-kira 30 pengikut Syiah dipercayai warganegara asing kerana menyertai sambutan Asyura.

Jumaat lalu, khutbah di seluruh negeri Selangor mengecam aliran kedua terbesar Islam itu, dengan menyenaraikan apa yang dianggap sebagai penyelewengannya daripada Islam. Ia susulan beberapa kenyataan yang menegaskan pengikut Syiah sebahagian Islam, termasuk daripada Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad.

Ilmuan Syiah turut tidak setuju

Nasrallah menjelaskan amalan sedemikian menjadi perdebatan di kalangan ilmuan Syiah dalam aspek keabsahannya di sisi agama.

“Mengapa ada yang begitu bersungguh-sungguh menumpahkan darah sendiri, sedangkan amalan itu sentiasa diperdebatkan? Namun mereka tidak pula kelihatan di saat orang Islam, Syiah, tempat suci dan warisan Ahlul Bait diancam,” katanya lagi.

Antara ulama Syiah yang melarang amalan itu adalah pemimpin tertinggi Iran sendiri, Ayatullah Ali Khamenei yang menyifatkannya sebagai salah dan “amalan yang direka”.

Nasrallah beliau amalan itu tidak lagi dilakukan setiap kali ketibaan 10 Muharam.

“Orang mengatakan kita sebagai golongan yang sabar, dan menyelesaikan masalah dengan kebijaksanaan, nasihat dan dialog dalaman. Tetapi kita sudah mencapai satu keadaan yang memalukan dan menyakitkan,” katanya lagi.

https://www.youtube.com/watch?v=EnNO7vZBhmU

Pautan:

Khutbah seluruh Selangor bidas Syiah ‘menyeleweng’

Syiah sebahagian Islam, kata Ulama PAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.