
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, masyarakat perlu memahami yang fenomena itu mampu mengancam keselamatan dan nyawa nelayan laut dalam.
Terdahulu, Bernama melaporkan harga ikan di Pulau Pinang dijangka meningkat berikutan fenomena air pasang besar dan mendapati harga ikan kembung di pasar Bandar Baru Air Itam dijual pada harga sekitar RM12 ke RM16 berbanding RM6 dan RM8 sebelum ini.
“Kita memahami dan tidak menolak peningkatan harga ikan kembung di Pulau Pinang. Bekalan ikan sememangnya tidak mencukupi pada musim tengkujuh berikutan majoriti nelayan kembali semula ke darat kerana keadaan laut bergelora,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad turut mengulas yang beliau menghubungi Ketua Persatuan Nelayan di Kuala Sungai Pinang dan Pulau Betong, mendapati ramai nelayan yang ke laut pagi ini kembali semula kerana angin terlalu kuat.
“Pihak kementerian berkaitan perlu tampil dengan inisiatif baharu dalam menangani masalah bekalan ikan apabila tiba musim tengkujuh,” kata Mohamed lagi.
“Saya juga ingin menyarankan penggunaan jaring berlubang sederhana bagi membenarkan anak-anak ikan yang ditangkap dapat melepaskan diri. Ini kerana kita khuatir dengan pengurangan beberapa jenis ikan akibat penggunaan jaring berlubang kecil,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan orang ramai meluaskan pemilihan ikan untuk dimasak dan bukan hanya fokus kepada ikan kembung sahaja.
“Ikan kembung bukan lagi ikan orang miskin kerana jika dibandingkan dengan ikan jenis lain, harganya lebih kurang sama sahaja.
“Begini sahajalah, kita makan jenis ikan mengikut kemampuan masing-masing. Banyak lagi pilihan ikan di pasaran. Kalau seseorang itu anggap ikan kembung mahal, boleh makan ikan lain. Dalam hal ini kita perlu ada toleransi dengan nelayan dan fikirkan nyawa mereka,” katanya.
Semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan ikan mencukupi bagi menampung permintaan pasaran walaupun berlaku fenomena air pasang besar di negeri pantai barat Semenanjung ketika ini.