Najib gesa parti kaum India bergabung di bawah MIC

Najib gesa parti kaum India bergabung di bawah MIC

Najib berharap perbincangan dapat diadakan antara MIC dengan parti komponen BN yang lain seperti Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia, Parti Bersatu India Malaysia dan Parti Makkal Sakti.

NAJIB-MIC
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak menyatakan hasratnya melihat kaum India di negara ini diwakili sebuah parti sahaja, iaitu MIC.

Berucap merasmikan Perhimpunan Agung ke-70 parti itu hari ini, Najib berharap semua parti kaum India lain akan bersatu di bawah MIC.

“Kaum India adalah komuniti paling kecil di Semenanjung, kira-kira 7.5%, tapi surat yang saya terima paling banyak. Ada pelbagai ‘letterhead’, semua jenis warna.

“Kalau ada banyak sangat parti mewakili atau cuba mewakili kaum India, susah bagi kita. Satukan semua masyarakat India di bawah MIC, boleh?” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Justeru, beliau berharap perbincangan dapat diadakan antara MIC dengan parti komponen BN yang lain seperti Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan Parti Makkal Sakti.

“Bila bergabung bawah satu bumbung, barulah kita jadi kuat. Nak minta macam-macam pun boleh,” katanya lagi.

Pada masa sama, kira-kira 3,000 diketuai bekas bendahari agung MIC Datuk R Ramanan berhimpun di perkarangan PWTC untuk membantah kepimpinan Presiden Datuk Seri S Subramaniam.

Selain Dr Subramaniam, turut hadir adalah Timbalan Presiden Datuk Seri SK Devamany, bekas presiden Datuk Seri S. Samy Vellu dan barisan kepemimpinan utama lain.

Mengulas gesaan itu, Dr Subramaniam pada sidang media berkata partinya bersikap terbuka dengan syarat parti lain menerima syarat yang diletakkan Najib iaitu menerima kepimpinan MIC.

“Niatnya baik. Saya akan cuba adakan perbincangan dengan pihak lain.

“Namun setiap kali perdana menteri menyuarakan pandangan ini, pasti ada kumpulan lain yang memberi respons negatif,” katanya tanpa menyatakan pihak yang dimaksudkannya.

Najib dalam ucapannya turut mengumumkan kerajaan akan melancarkan pelan induk untuk kemajuan kaum India pada Januari depan.

Katanya, pelan itu antara lain bagi menyelesaikan masalah pelaksanaan pelbagai projek untuk kaum India yang pernah diumumkannya sebelum ini.

Sementara itu, Dr Subramaniam dalam ucapannya mengumumkan hasrat parti itu bertanding di 9 kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.