Politik kebencian ialah jenayah, boleh hancurkan negara, kata Annuar

Politik kebencian ialah jenayah, boleh hancurkan negara, kata Annuar

Annuar berkata, politik kebencian terhadap BN semakin meningkat.

Free Malaysia Today
KEPALA BATAS: Negara akan menuju kehancuran jika rakyat terjebak dalam sentimen politik kebencian yang dimainkan pihak tertentu, kata Ketua Penerangan Umno.

Tan Sri Annuar Musa berkata, politik kebencian terhadap Barisan Nasional semakin meningkat.

“Orang berkata Umno bersifat perkauman. Gerakan, MCA dan MIC tidak berkuasa, tetapi ia tidak benar. Umno tidak pernah bersikap rasis kerana kamilah yang mula-mula sekali bekerjasama dengan pelbagai parti berteraskan latar belakang kaum berbeza,” katanya selepas sesi penerangan dengan ahli Umno di Kepala Batas, hari ini.

Annuar berkata, politik kebencian dianggap sebagai jenayah kerana ia boleh menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat melalui demokrasi, memandangkan ia boleh mencetuskan huru-hara dalam negara.

“Kita tidak mahu melihat politik kebencian di negara yang tercinta ini,” katanya sambil merujuk Arab Spring sebagai contoh, apabila rakyat memainkan sentimen politik kebencian dan negara mengalami kehancuran.

Annuar turut melancarkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai Malaysia4All untuk menghubungkan jentera penerangan parti dengan kepimpinan bagi menangkis segala fitnah terhadap kerajaan.

Aplikasi yang terbuka kepada semua ahli Umno itu dijadikan platform menyebarkan maklumat boleh dipercayai kepada orang ramai melalui platform media sosial, seperti Facebook dan Twitter.

“Peringkat pertama membabitkan penyaluran maklumat kepada kira-kira 500,000 jentera Umno. Selepas itu, aplikasi tersebut akan dibuka kepada semua anggota,” katanya.

Ditanya mengenai Parti Barisan Pulau Pinang (PFP) yang ditubuhkan baru-baru ini, Annuar berkata, parti itu bukan sebahagian daripada Umno.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.